PARLIMEN l Rang Undang-undang (RUU) Racun (Pindaan) 2019 ditarik balik daripada dibentangkan di Dewan Rakyat kali ini untuk diteliti semula dan diperkemaskan bagi faedah semua pihak, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Katanya berdasarkan maklum balas terkini, RUU itu perlu diteliti semula bagi memastikan penguatkuasaan dan pelaksanaan peruntukan yang dicadangkan dapat dibuat dengan lebih berkesan serta melindungi kepentingan semua pihak, termasuk orang awam, ahli farmasi, pengamal perubatan dan pihak industri farmaseutikal.

"Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mengambil kira maslahat pelbagai pihak berkepentingan dan implikasi pindaan sebelum RUU itu dibentangkan semula pada sidang Parlimen akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KKM menarik balik pembentangan RUU itu semalam.

Untuk rekod, RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada November tahun lepas.

- Bernama