Pemuda Umno cabar Amerika, Britain berdebat
Pemuda Umno Malaysia mencabar pentadbiran Amerika Syarikat dan Britain untuk mengadakan debat terbuka dan sesi dialog berhubung konflik di Timur Tengah sekarang.
Pemuda Umno Malaysia mencabar pentadbiran Amerika Syarikat dan Britain untuk mengadakan debat terbuka dan sesi dialog berhubung konflik di Timur Tengah sekarang.
Cabaran tersebut dibuat melalui surat bertarikh 2 Ogos lalu, yang dihantar oleh Biro Antarabangsa dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) pergerakan tersebut kepada Kedutaan Amerika dan Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia.
Pengerusi biro tersebut, Datuk Mukhriz berkata, seperti yang diketahui umum, rakyat Malaysia amat marah terhadap kekejaman dan pembunuhan rakyat yang tidak berdosa oleh tentera Israel di Palestin dan Lebanon sejak beberapa bulan lalu.
"Sebagai umat Islam dan anak Melayu dan pejuang Umno, saya cabar mereka untuk berdialog secara terbuka dengan kita untuk menjelaskan justifikasi pembunuhan rakyat Palestin dan Lebanon...saya cabar mereka berdepan dengan kita dan memberi peluang mereka berdepan dengan Pemuda Umno...," katanya.
Katanya, begitu jelas sekali bahawa Israel telah dibenarkan untuk terus menerus melancarkan operasi perangnya di kedua-dua negara berkenaan.
Ini, katanya, kerana tindakan dan ancaman Amerika untuk menggunakan kuasa vetonya terhadap sebarang resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai gencatan senjata dan usaha menghentikan ketegangan di rantau itu.
Jadi penganjur
"Manakala United Kingdom, sepertimana yang kita semua tahu, merupakan penyokong utama pendirian berkenaan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian Masjid Tanah, Melaka petang tadi.
Oleh itu, katanya, Pemuda Umno mahu memberi peluang kepada Amerika untuk menjelaskan justifikasi pendiriannya itu serta bagi pihak Britain menjelaskan justifikasinya menyokong pendirian Amerika itu terhadap konflik di Palestin dan Lebanon sekarang.
.
Dalam surat yang ditandatangani oleh Mukhriz itu, menyebut, Pemuda Umno turut menyatakan kesediaannya untuk menganjur dan membiayai debat dan sesi dialog tersebut dan memberi tempoh sehingga 9 Ogos itu bagi kedua-dua menjawab surat berkenaan.
"Kita minta supaya mereka memberi tarikh dan tempat dan kita akan anjurkan supaya mereka berdebat dengan kita apa yang dilakukan oleh Israel di Lebanon dan Palestin," katanya.
Ditanya apakah tindakan selanjut pergerakan tersebut seandainya cabarannya tidak dilayan oleh pihak Amerika dan Britain, Mukhriz berkata: "Jika mereka tidak berani, maka kita anggap mereka bersalah dan harus dihadapkan ke muka keadilan."
Masalah hantar bekalan
Sementara itu, Bernama melaporkan, Kumpulan pertama Global Peace Mission Malaysia (GPM) menghadapi kesukaran untuk menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan kepada rakyat Palestin berikutan kawalan ketat Israel, selain terpaksa berdepan dengan ancaman yang membahayakan nyawa mereka.
Pengurus Sekretariat GPM Shirajuddin Sirat berkata kumpulan peninjau pertama GPM yang berlepas ke Palestin pada 22 Julai lalu, terpaksa menukar laluan dengan memasuki negara itu melalui Jordan daripada rancangan awal melalui Mesir bagi menghantar bekalan untuk mangsa keganasan rejim Zionis.
Menceritakan pengalaman mereka semasa di Palestin, Shirajuddin, yang baru kembali dari Palestin Khamis lalu berkata beliau dan penyelaras bantuan kemanusiaan GPM Azlan Muhammad Sharif telah dimaklumkan oleh pihak Imigresen Mesir yang Israel melarang kemasukan segala jenis bantuan ke Palestin melalui sempadannya dengan Mesir.
"Kami sampai di Rafah (sempadan Mesir-Palestin) pada 2.45 petang waktu di sana, beberapa minit selepas itu kedengaran jelas bunyi bom dan tembak-menembak tanpa henti. Kami terpaksa tunggu selama 45 minit untuk merentasi sempadan ke Gaza sehinggalah dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang kami tidak dibenarkan masuk ke situ.
"Kemudian kami dapat maklumat bahawa satu-satunya kerajaan yang dibenarkan oleh Israel untuk menghantar bantuan ialah Jordan. Dengan bantuan sebuah badan bukan kerajaan di sana yang bertanggungjawab mengenai misi bantuan, kami berjaya akhirnya," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Shirajuddin berkata mereka bertolak ke Jordan pada 28 Julai untuk menyempurnakan misi penghantaran bantuan makanan dan ubat-ubatan.
"Melalui Jordan, bantuan dihantar melalui Pelabuhan Aqaba, kemudian dihantar ke gudang di Amman. Bantuan tersebut akan dibuka dan dipek semula sebelum diterima oleh pihak Palestin kerana Israel takut ada pihak yang cuba membekalkan senjata," katanya menambah, bantuan makanan dan ubat-ubatan seberat 132 tan itu akhirnya selamat sampai di Palestin Rabu lalu.
Sumbangan dialu-alukan
Beliau juga dimaklumkan bahawa sempadan Mesir-Palestin di Rafah akan dibuka pada 20 Ogos bagi membenarkan bantuan dihantar melalui Mesir.
"Laluan ini lebih mudah berbanding Jordan yang mengambil masa antara satu dan tiga minggu untuk mendapat kelulusan membenarkan bantuan melalui sempadan negara itu," katanya.
Sementara itu, Azlan berkata GPM akan melaksanakan beberapa program untuk pelarian Palestin di Gaza termasuk program klinik dan kepakaran air bersih, selain pendidikan untuk anak yatim.
Timbalan Presiden GPM Nur Anwar Hashim pula berkata pasukan peninjau kedua yang dianggotai Presiden GPM Datuk Abdul Razak Kechik dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Fauwaz Hasbullah telah berangkat ke Lubnan Selasa lepas untuk tempoh lima hari bagi menyelaraskan penghantaran bantuan ke sana.
Katanya mereka yang ingin membuat sumbangan boleh berbuat demikian melalui sumbangan wang tunai, cek atau kiriman wang ataupun mendeposit melalui Maybank Berhad di nombor akaun 5642-2161-1602 atas nama Global Peace Mission atau Bank Islam Malaysia Berhad, nombor akaun 14-023-01-002922-4 atas nama Tabung Keamanan Sejagat.
Sumbangan juga boleh dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) telefon bimbit dengan menaip GPM untuk sumbangan RM1, GPM2 (sumbangan RM2), GPM5 (sumbangan RM5) dan GPM10 (sumbangan RM10) dengan menghantar ke 39111.

