Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyambut ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-50 hari ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh anak lelaki mereka, Datuk Muk hriz ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Masjid Tanah, Melaka petang tadi.

Beliau turut menyampaikan salam kedua ibubapanya kepada para perwakilan yang menghadiri mesyuarat tersebut.

Dalam ucapannya, beliau yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa dan NGO Pemuda Umno, mengingatkan para perwakilan supaya tidak melupai sejarah perjuangan para pemimpin parti itu sebelum ini.

"Kalau kereta diibaratkan sebagai bangsa kita, maka pemandunya adalah Umno. Nak bergerak kita perlukan minyak, dan minyak itu adalah kuasa ekonomi. Sekali-sekala kita menggunakan cermin sisi, maksudnya kita mesti ingatkan sejarah kita dari mana kita datang, identiti bangsa kita, apakah perjuangan dan pengorbanan pemimpin, malah ibubapa kita sendiri, sebelum kita maju ke hadapan...," katanya.

Beliau menegaskan bahawa sejarah amat penting kerana ia akan memberi 'momentum' untuk parti bergerak ke hadapan.

Jangan gelojoh

"Kalau kita tidak tahu dari mana kita datang dan di mana kita sekarang, jadi bagaimana kita hendak rancang ke mana hendak pergi dari sini... dari masa ke masa, kita toleh ke kiri dan ke kanan...ini bermaksud kita berhati-hati dan berjaga-jaga supaya tidak dilanggar orang...," tambahnya.

Beliau juga mengingatkan para anggota Pemuda Umno supaya bertertib dan berhemah dan jangan gelojoh dan tidak mengambil jalan pintas.

"Perjalanan perjuangan bangsa kita masih jauh. Jadi sebelum kita teruskan, kita perlu fikir dan bermuhasabah diri, sama ada niat kita dalam Umno ini betul untuk negara, bangsa dan tanahair...adakah matlamat kita dalam Umno ini sama dengan matlamat parti sebagai pemimpin Umno peringkat cawangan, bahagian dan pusat.

"Sebagai perwakilan, kita memikul amanah yang besar. Apa yang berlaku ada sebabnya...kita di sini diundi untuk menjadi pemimpin bagi membela nasib mereka..," katanya.

"Kita dalam Umno berjuang untuk anak bangsa kita supaya masa depan mereka cerah. Soalnya adakah niat ini sudah sampai. Tujuan mesyuarat Pemuda Umno ini adalah supaya kita dapat bersuara, agar masalah akar umbi dapat didengar oleh pucuk pemimpin hingga ke peringkat pusat.

"Inilah peluang tebaik untuk kita membincangkan soal masa depan bangsa kita, dengar keluhan dan permasalahan (mereka untuk) kita bawa ke peringkat bahagian, peringkat perhimpunan agung," katanya.

Menurutnya, seandainya wujud sebarang perbezaan pendapat, ia dibuat dalam semangat permuafakatan Umno asalnya tidak sampai ke tahap dianggap "mendurhaka pada Umno".