Datuk Mukhriz Mahathir mempersoalkan tindakan sesetengah pihak membangkitkan isu yang menyentuh bapanya pada musim mesyuarat bahagian Umno sedang berlangsung sekarang.

Menurut beliau, sepatutnya isu remeh temeh atau peribadi tidak dibawa ke dalam parti kerana terdapat banyak isu lain yang besar dan kritikal perlu dibincang dan diselesaikan.

"Isu yang lebih penting adalah mengenai kepentingan bangsa yang perlu dihalusi, tidak patut isu remeh-temeh ini dibincang pada musim persidangan ataupun di perhimpunan agung Umno nanti," kata anak keempat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Duta Lubnan, Khalid Al-Kilani di kedutaan negara itu di ibunegara hari ini.

Kritikan beliau itu walaupun tanpa menyebut nama mana-mana individu namun jelas ditujukan kepada Naib-Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menjawab pelbagai tohmahan terhadapnya termasuk isu-isu berkaitan dengan Dr. Mahathir.

Menurut laporan Bernama, Mukhriz yang juga anggota exco Pemuda Umno bagaimanapun mengakui tidak menghadapi sebarang tekanan dalam Umno meskipun bapanya berterusan mengkritik kerajaan secara terbuka.

Beliau yang menjadi Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa pergerakan itu, berkata apa yang penting bagi dirinya adalah bekerja serta menjalankan tanggungjawab dan amanah parti dengan sebaik mungkin.

"Dalam Umno sentiasa ada tekanan, kalau tidak tahan panas, keluarlah dari dapur.

"Saya tidak rasa tekanan, saya teruskan dengan kerja dan tanggungjawab yang diamanahkan bukan sahaja kepada parti tetapi kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia amnya," ujarnya.