Mahkamah tangguh kes saman lucut hak 1MDB ke atas Petrosaudi
Perbicaraan saman lucut hak kerajaan berkaitan dana 1MDB bernilai AS$340 juta ke atas PetroSaudi International Limited dan empat yang lain ditangguhkan hari ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian menetapkan 14 Disember sebagai tarikh sebutan semula bagi menentukan tarikh baru perbicaraan itu.
Ini disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed ketika dihubungi Malaysiakini.
"(Perbicaraan saman pelucutan hari ini) telah dibatalkan. Mahkamah menetapkan tarikh sebutan pada 14 Disember,” katanya.
Budiman menjelaskan bahawa sebutan semula itu adalah untuk menentukan tarikh perbicaraan baru. Ia susulan ketidakpastian sama ada tempoh PKPB akan dilanjutkan atau tidak.
PKPB sebelum ini dilanjutkan sehingga 6 Disember.
Sebelum ini, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menangguhkan perbicaraan tersebut dari 5 Oktober ke 10 November.
Pada 14 Julai, kerajaan memfailkan saman pelucutan hak ke atas Petrosaudi International Limited dan pengarahnya Tarek Obaid daripada menggunakan dana lebih AS$340 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Permohonan itu bagi membolehkan wang dalam akaun berkenaan dibekukan.
Dalam permohonan yang dikemukakan pada 10 Julai itu, kerajaan berpendapat bahawa sejumlah wang AS$340,258,246,87 di Clyde & Co LLP milik PetroSaudi dan anak syarikatnya PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited adalah hasil daripada pengubahan wang haram.
Permohonan itu dikemukakan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 sebagai asas.
Menurut permohonan itu, selain wang berjumlah lebih AS340 juta berkenaan, kerajaan juga memfailkan larangan penggunaan wang yang disimpan dalam akaun bank atas nama Temple Fiduciary Services Limited.

