Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada campur tangan politik lantik kontraktor projek MOT, kata PAC
Diterbitkan:  Nov 10, 2020 2:41 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Wujud pengaruh politik wujud dalam proses pelantikan kontraktor atau vendor untum melaksanakan projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) sebelum ini.

Itu adalah satu daripada enam rumusan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bersidang untuk meneliti RC dan VEP ekoran Laporan Ketua Audit 2017 dan dibentangkan di Parlimen pada 3 Dis 2018.

"Wujud pengaruh politik dalam pelantikan kontraktor/vendor untuk projek sistem RC/VEP melalui rundingan terus," kata Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, dalam laporan badan itu hari ini.

Selain itu Wong berkata tiada justifikasi kukuh untuk membolehkan projek RC dan VEP itu dilaksanakan secara rundingan terus.

"Pelaksanaan proses perolehan secara rundingan terus untuk projek sistem ini di bawah MOT gagal menepati tujuan asal iaitu berhubung kesegeraan pelaksanaan projek yang dikehendaki kerajaan," katanya.

Selain itu Wong berkata pemilihan syarikat TC Sens Sdn Bhd (TC Sens) dikemukakan oleh menteri pengangkutan ketika itu Liow Tiong Lai kepada perdana menteri tanpa penilaian menyeluruh dan mendalam mengenai keupayaanya dari dari segi kewangan dan teknikal.

Satu lagi rumusan yang dibuat PAC ialah, wujud kelemahan pentadbiran dan pelaksanaan kontrak iaitu membabitkan kelewatan menandatangani kontrak projek selama 16 bulan, pembayaran dibuat sebelum penilaian peralatan disempurnakan dan melantik pihak ketiga melaksanakan RC dan VEP tanpa kelulusan kementerian.

Beberapa orang beri keterangan

Wong berkata projek sistem RC dan VEP itu juga lewat disiapkan.

Berikutan itu, kata Wong, PAC mengesyorkan tiga langkah kepada kerajaan iaitu:

  •  Pada masa depan Kementerian Kewangan (MOF) perlu memastikan semua keputusan rundingan terus disokong dengan justifikasi yang kukuh. Agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi perhatian kepada rumusan yang diberi dan membuat siasatan sewajarnya
  •  Ahli parlimen perlu mengisytiharkan kepentingan perniagaan kepada kementerian yang bertanggungjawab sekiranya perniagaan tersebut membabitkan projek kerajaan;
  •  Kerajaan perlu memastikan tiada lagi sebarang pengecualian diberikan kepada mana-mana projek yang sepatutnya melalui proses penilaian menerusi jawatankuasa di peringkat kementerian, termasuk Makmal Pengurusan Nilai dan penilaian Jawatankuasa Teknikal ICT Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

Projek RC dan VEP dilaksanakan semasa Najib Razak menjadi perdana menteri.

Untuk mendapatkan maklumat berkaitan projek itu, Wong berkata, PAC memanggil beberapa orang pegawai kerajaan dan ahli politik untuk memberi keterangan.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng, yang sebelum ini menjadi pemegang saham TC Sens; Ketua Setiausaha MOT, Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Liow dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Ismail Bakar yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha MOT antara 18 Nov 2015 hingga 15 Dis 2018.

Turut dipanggil Ketua Pegawai Eksekutif TC Sens, Tan Chean Suan.

Kata Wong RC dan VEP merupakan salah satu projek di bawah MOT manakala agensi pelaksana adalah Jabatan Pengangkutan Jalan.

Ahli parlimen Ipoh Timur itu menjelaskan sistem berkenaan dipasang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar dan KIK Kompleks Sultan Abu Bakar Johor.

"Projek ini telah dilaksanakan syarikat TC Sens yang dilantik secara rundingan terus dengan kos berjumlah RM149.45 juta melibatkan dua kontrak berasingan iaitu Capital Expenditure Contract (Capex) berjumlah RM45.15 juta dan Operational Expenditure Contract (Opex) berjumlah RM104.30 juta," katanya.

Lihat Komen
ADS