Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada justifikasi k’jaan anugerah projek RC/VEP secara rundingan terus - PAC
Diterbitkan:  Nov 10, 2020 4:20 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

PARLIMEN l Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada justifikasi kukuh untuk kerajaan menganugerahkan secara rundingan terus Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) bernilai RM149.45 juta kepada syarikat TC Sens Sdn Bhd.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata penganugerahan projek di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) secara rundingan terus pada Disember 2018 itu gagal menepati tujuan asal berhubung keperluan kesegeraan pelaksanaan projek yang dikehendaki kerajaan.

"Pemilihan TC Sens telah dikemukakan kepada Perdana Menteri pada ketika itu tanpa penilaian yang menyeluruh dan mendalam berkenaan keupayaan syarikat tersebut dari segi kewangan dan teknikal untuk melaksanakan projek sistem RC/VEP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong mendakwa wujud pengaruh politik dalam pelantikan kontraktor atau vendor untuk membolehkan projek berkenaan dilakukan secara rundingan terus.

Projek Sistem RC/VEP merupakan projek yang dilaksanakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), agensi di bawah Kementerian Pengangkutan. Sistem berkenaan dipasang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar dan KIK Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor.

Wong berkata wujud kelemahan pentadbiran dalam pelaksanaan kontrak iaitu kelewatan dalam menandatangani kontrak selama 16 bulan, pembayaran dibuat sebelum Ujian Penerimaan Akhir disempurnakan dan lantikan pihak ketiga dalam pelaksanaan sistem RC/VEP dilakukan tanpa kelulusan daripada kementerian.

"Projek sistem RC/VEP telah lewat disiapkan, sebanyak tiga Lanjutan Masa telah diluluskan atas sebab keperluan integrasi sistem ditambah dengan peranan kontraktor selaku vendor dan bukan pembekal rumusan (solution provider) yang kompeten telah menyebabkan kelewatan tersebut," katanya.

Oleh yang demikian, katanya, PAC telah mengesyorkan beberapa langkah kepada kerajaan iaitu Kementerian Kewangan pada masa depan perlu memastikan semua keputusan kontrak yang diberi melalui rundingan terus perlu disokong dengan justifikasi kukuh.

Katanya, agensi penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memberi perhatian berkenaan rumusan-rumusan PAC dan membuat siasatan sewajarnya.

"Ahli Parlimen perlu mengisytiharkan kepentingan perniagaan kepada kementerian yang bertanggungjawab sekiranya perniagaan tersebut membabitkan projek kerajaan.

"Kerajaan perlu memastikan bahawa tiada lagi sebarang pengecualian diberikan kepada mana-mana projek yang sepatutnya melalui proses penilaian menerusi jawatankuasa di peringkat kementerian, termasuk Makmal Pengurusan Nilai dan penilaian Jawatankuasa Teknikal ICT (JTICT) MAMPU," katanya.

Menyentuh prosiding isu berkenaan, Wong berkata beberapa pihak telah dipanggil selepas penemuan audit yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2017 Siri 2 dan dibentangkan di Parlimen pada 3 Dis 2018.

Antara mereka yang dipanggil bagi membantu dalam prosiding berkaitan ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Mohd Khairul Adib Abd. Rahman; bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Tan Sri Dr Ismail Bakar; bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Ketua Pegawai Eksekutif TC Sens, Tan Chean Suan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS