Malaysiakini
BERITA

Najib, Anwar senada soal kepincangan belanjawan - Naib ketua AMK

Haspaizi Zain

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Nov 2020, 1:28 tengahari

Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman menyifatkan bekas perdana menteri Najib Razak senada dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam mempertikaikan kepincangan Belanjawan 2021.

Menjelaskan lanjut, Syed Badli berkata, inilah sebabnya dia "menempelak" tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang meninggalkan Dewan Rakyat ketika ahli parlimen Pekan itu berbahas isu belanjawan.

"Najib mewakili rakyat di kawasannya. Beliau senada dengan ketua pembangkang, Anwar yang turut mempertikaikan kepincangan dalam belanjawan.

"Pada saya, walaupun ahli parlimen daripada PKR, jika gagal memahami kedudukan semasa politik hari ini, maka tetap gagal memahami sentimen rakyat.

"Kegagalan itu hanya akan menyusahkan rakyat," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Dua hari lalu, pemimpin Pemuda PKR itu menggelar Maria (gambar, bawah) sebagai “bebal” kerana meninggalkan Dewan ketika Najib Razak berbahas.

Syed Badli turut menggesa Maria yang juga bekas pengerusi Bersih 2.0 untuk meletakkan jawatan kerana tindakannya itu.

“Bebal apa laa YB seorang ni. Daripada kau walk out baik kau resign,” ciap Syed Badli di Twitternya.

Dia juga mencabar Maria supaya mengambil tindakan yang sama ketika bekas pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) berucap di parlimen, khususnya ketika ucapan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali dan bekas ketua wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

"Saya cabar Maria untuk turut 'walk out' ketika Azmin, Zuraida, Muhyiddin dan semua pengkhianat berbahas," kata Syed Badli (gambar, bawah) lagi.

Sebelum ini, Maria Chin menjelaskan dia keluar dewan sebagai tanda protes memandangkan Najib telah diputuskan bersalah atas kesalahan rasuah di mahkamah, namun masih diberikan ruang istimewa untuk membahaskan belanjawan.

Pada 29 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada Najib setelah mendapati dia bersalah atas tujuh kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta dana SRC International.

Mahkamah turut membenarkan penangguhan hukumannya sementara menunggu keputusan rayuan Najib yang akan didengar di Mahkamah Rayuan 15 Feb tahun depan.

Sementara itu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas perbahasan Najib di Dewan Rakyat berkata tidak pernah dalam sejarah negara seorang yang disabit bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara menasihati kerajaan tentang soal pentadbiran negara.

Mahathir hari ini dilaporkan berkata tindakan itu menjadikan kedudukan Dewan Rakyat tercemar.

Walaupun ia dibenarkan undang-undang memandangkan Najib dalam proses rayuan, Mahathir berkata salah segi moral apabila dia dibenarkan berbahas di Dewan Rakyat.

“Najib seorang banduan. Tidak pernah dalam sejarah negara kita seorang banduan menasihat kerajaan bagaimana hendak memerintah negara.

“Di mana-mana juga dalam dunia ini kita tidak dapat seorang banduan yang dihukum dan dikenakan hukuman penjara, datang ke Dewan (Parlimen) dan menasihat kerajaan.

“Cuma Malaysia saja yang boleh berbangga bahawa banduan pun nasihat kerajaan," kata Mahathir seperti dipetik.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.