Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Rayuan bekas perdana menteri Najib Razak terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International akan didengar oleh Mahkamah Rayuan mulai 15 Februari tahun depan.

Tarikh itu ditetapkan semasa sesi pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Darmafikri Abu Adam dan N Kanageswari.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang mewakili kerajaan berkata bahawa perbicaraan rayuan itu telah ditetapkan selama 12 hari.

"Ia akan berlangsung dari 15 hingga 18 Februari, 22 hingga 25 Februari, dan dari 1 hingga 4 March.

"Tarikh pengurusan kes berikutnya ditetapkan pada 4 November," katanya dalam pesanan teks ringkas.

Peguam Harvinderjit Singh dan Nur Syahirah Hanapiah, yang mewakili Najib, juga hadir semasa pengurusan kes tersebut.

Pada 30 Julai lalu, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan RM42 juta dana SRC.

Dua hari sebelum itu, ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes CBT dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun, dalam kes penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Najib kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.

Pada 7 Ogos, pihak pendakwaan memfailkan rayuan balas untuk menambah tempoh hukuman penjara dan jumlah denda terhadap bekas perdana menteri itu.

Pada 25 Sept, Najib memperoleh lanjutan masa 30 hari untuk memfailkan petisyen rayuannya selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk lanjutan masa.

Mengenai rayuan balas pihak pendakwaan, difahamkan bahawa berikutan pihak pendakwaan tidak memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan atau memohon untuk lanjutan masa, rayuan itu luput.

Lihat Komen
ADS