Dr M terima penjelasan Abdullah dengan sinis
Tun Dr Mahathir Mohamad menerima penjelasan terbuka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap segala kritikannya di TV3 malam Isnin lalu dengan nada sinis.
Tun Dr Mahathir Mohamad menerima penjelasan terbuka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap segala kritikannya di TV3 malam Isnin lalu dengan nada sinis.
Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau bersetuju dengan pendirian Abdullah bahawa perlu ada bukti jelas sebelum seseorang itu dituduh mengamalkan rasuah.
"Memanglah, kalau tak ada bukti tentang rasuah, jangan kata ia rasuah. Kalau seseorang itu dapat buktikan perbuatan rasuah tanpa mempunyai bukti yang jelas, saya fikir orang itu detektif yang handal," katanya.
Beliau juga menampakkan ketidakyakinannya terhadap jaminan Abdullah "untuk tidak membiarkan Proton tersungkur".
" Kita tunggu dan lihat sebelum menerimanya," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan satu ceramah bertajuk "Globalisasi dan Cabarannya Terhadap Negara Maju dan Membangun" itu dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman.
Abdullah ketika diwawancara dalam program "Bersemuka Perdana Menteri" itu memberi jaminan akan terus membantu projek kereta nasional kerana projek kereta nasional itu menjana pertumbuhan eknomi dan ramai vendor bergantung padanya.
Bagaimanapun Perdana Menteri tidak menjawab isu penjualan syarikat motosikal MV Austa pada harga satu Euro yang dikritik keras oleh Dr. Mahathir.
Bagaimanapun Dr Mahathir bersetujudengan hasrat kerajaan menimbang cadangan sektor swasta mengadakan perkhidmatan kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura, walaupun projek itu telah ditolak semasa pentadbiran beliau.
"Pada masa saya, ia tidak sesuai. Mungkin sekarang ia sesuai. Kami ada idea sendiri pada masa itu. Orang lain ada idea lain pula," kata beliau apabila ditanya kenapa projek itu ditolak semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
Program penerangan
Mengenai program roadshow nya, bekas Presiden Umno itu mahu diberikan peluang bertemu ahli-ahli Umno untuk menjelaskan segala isu yang dibangkitkannya supaya tidak timbul kekeliruan terhadap kritikannya itu.
Dr. Mahathir berpendapat, selagi menjadi anggota Umno, beliau wajar diberi peluang menemui anggota parti itu bagi menjelaskan pendiriannya.
Namun dakwannya, pihak-pihak tertentu sedang membuat percubaan bagi menghalang beliau bertemu dengan ahli-ahli Umno di akar umbi.
"Sekiranya Umno membenarkan saya memberi penjelasan, saya boleh pergi berjumpa mereka serta memberi penjelasan kepada mereka. Dengan itu, mereka tidak akan keliru," katanya.
Dr. Mahathir bagaimanapun menjelaskan beliau tidak ada rancangan untuk mengadakan roadshow ke seluruh negara untuk bertemu dengan anggota Umno melainkan dijemput untuk berbuat demikian.
Beliau juga menegaskan kritikan kerasnya terhadap kerajaan dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukannya petanda wujud perebutan kuasa dalam Umno atau berlaku krisis peribadi dengan Perdana Menteri itu.
"Saya tidak bergaduh dengan beliau. Saya hanya bercakap tentang projek dan saya telah beritahu orang ramai bahawa tidak wujud sebarang perbalahan peribadi yang boleh diselesaikan hanya dengan berjabat tangan atau dengan berkata marilah kita lupakannya dan saling bermaaf-maafan.
"Saya bercakap tentang perkara yang telah dilakukan yang saya rasa tidak betul. Tapi, jelas sekali, banyak orang fikir ia betul. Semua menteri dan semua MB fikir ia betul,"
Bekas Perdana Menteri itu berkata kritikan beliau hanya bertumpu pada projek dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan dan ia tidak sekali-kali mencerminkan wujudnya pertelingkahan peribadi antara beliau dan Abdullah.
Ditanya tentang kawalan keselamatan lebih ketat yang diberi kepada beliau selepas kejadian menyembur bahan pemedih mata di Kota Bharu tempoh hari, Dr Mahathir berkata:
"Saya tidak tingkatkan kawalan keselamatan saya, tapi kerajaan amat mengambil berat tentang saya, jadi mereka perketatkan kawalan keselamatan. Saya tidak memintanya, kejadian menyembur lada itu saya anggap perkara biasa saja."

