Malaysiakini
BERITA

Anwar bidas Zafrul kaitkan gaji penjawat awam dengan sokongan belanjawan

Diterbitkan

Kenyataan menteri kewangan bahawa kerajaan tak dapat membayar gaji penjawat awam dan menjejaskan petugas barisan hadapan sekiranya belanjawan tidak diluluskan, disifatkan ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai “berbaur ugutan”.

“Menteri Kewangan membayangkan sekiranya Belanjawan 2021 yang dibentang kerajaan Perikatan Nasional tidak diluluskan, maka ia tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan akan mengesankan para petugas barisan hadapan yang berjuang memerangi Covid-19.

“Saya fikir ini satu kenyataan yang bersifat hambar dan berbaur ugutan serta sebahagian dari rencana untuk mengenepikan suara majoriti ahli parlimen.

“Saya yakin bahawa kita mampu mengemukakan belanjawan atau pindaan yang lebih baik untuk kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia merujuk kenyataan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz itu yang dikeluarkannya semalam apabila disoal mengenai kemungkinan Dewan Rakyat tidak meluluskan Belanjawan 2021.

Bagaimanapun Tengku Zafrul turut menyatakan dia optimis belanjawan yang disifatkannya sebagai “dapat menolong negara” itu akan diluluskan, memandangkan tiada sebab untuk ia ditolak.

Ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di parlimen minggu lalu, Anwar berkata belanjawan itu belum pasti diluluskan dengan “cara mudah” dan hanya akan mendapat sokongan penuh sekiranya pindaan dibuat untuk “kebajikan rakyat”.

Kata ahli parlimen Port Dickson itu, belanjawan itu tidak menepati tuntutan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), selain mempunyai unjuran tidak realistik dan tidak munasabah, seperti pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan perkembangan domestik yang disifatkan terlalu tinggi.

Anwar turut menyatakan peruntukan Belanjawan 2021 tidak sejajar dengan langkah kerajaan untuk menangani Covid-19, seperti dana peruntukan RM3 bilion bagi membeli vaksin Covid-19 yang menurutnya tidak jelas dalam belanjawan.

“Kita (pembangkang) hanya akan sokong belanjawan berhubung Covid-19 dan bukan hal lain,” tegas Anwar dalam sesi perbahasannya.

Dalam kenyataannya hari ini, Anwar menegaskan sekali lagi bahawa soal emolumen penjawat awam, perbelanjaan mengurus terutamanya perbelanjaan untuk barisan hadapan serta kelengkapan perubatan dan kesihatan tetap dipertahankan.

Cuma, katanya, pembangkang menggesa agar belanjawan itu diteliti semula dan hanya akan menyokongnya sekiranya ia benar-benar untuk memerangi Covid-19.

“Saya ulangi gesaan untuk kerajaan teliti semula Belanjawan 2021. Pembangkang hanya mendukung sekiranya ia benar-benar belanjawan untuk memerangi Covid-19,” katanya lagi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.