Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan sedia benar lebih ramai keluar caruman Akaun 1 KWSP
Diterbitkan:  Nov 14, 2020 8:08 PM
Dikemaskini: 12:08 PM

Kerajaan bersedia untuk memperluas jumlah pencarum yang layak bagi pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan semua pihak terlibat khususnya KWSP.

Jelasnya, cadangan itu dibuat setelah mengambil kira keresahan rakyat yang terkesan dengan impak penularan Covid-19.

"Selepas rundingan itu selesai, kita perlu tunggu dalam beberapa hari lagi untuk saya serta KWSP umumkan berhubung usaha memperluaskan kepada lebih 600,000 rakyat menerima faedah ini. Kita juga akan jelaskan juga kenapa kita buat demikian," katanya pada sidang media di Wisma Bernama, di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lepas, Tengku Zafrul mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan bagi meringankan beban kewangan ahli-ahli yang terjejas.

Pada April lepas, KWSP telah memperkenalkan skim kemudahan pengeluaran i-Lestari yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan selama tempoh 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000, memberi manfaatkan kepada kira-kira 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan Dewan Rakyat tidak meluluskan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul berkata jika perkara itu berlaku, kerajaan tidak dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji dan bantuan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi Covid-19.

Beliau bagaimanapun optimis belanjawan melibatkan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang memfokuskan kepada usaha membantu rakyat dan pemulihan perniagaan serta ekonomi negara itu akan diluluskan.

“Bagi saya, kalau belanjawan ini dapat menolong negara kita, jadi tiada sebab untuk belanjawan ini tidak diluluskan dan ditolak (Dewan Rakyat). Kalau ditolak, dari segi ekonominya kita tidak dapat bayar komitmen kerajaan termasuk untuk membayar bantuan kepada rakyat,” katanya.

Menteri kewangan itu juga turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa sekolah vernakular dipinggirkan dalam peruntukan Belanjawan 2021.

Jelasnya, ini kerana pada sesi pembentangan belanjawan itu, peruntukan untuk sekolah tidak diklasifikasikan mengikut jenis sekolah dan menambah perincian peruntukan bagi setiap jenis sekolah akan dijelaskan oleh Kementerian Pendidikan tidak lama lagi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS