Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jho Low: K'jaan BN tak nak saya runding DOJ, babitkan Najib
Diterbitkan:  Nov 17, 2020 2:02 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mendakwa telah mencapai persetujuan untuk menjual asetnya dan menyelesaikan tuntutan mahkamah 1MDB dengan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat tetapi pentadbiran perdana menteri ketika itu, Najib Razak tidak mahu mendedahkan dokumen yang boleh membabitkan dirinya.

Sehari selepas serbuan di hartanah yang berkaitan dengan Najib berikutan pilihan raya umum Mei 2018, Low memulakan komunikasi dengan kerajaan perdana menteri baru Dr Mahathir Mohamad.

Rakaman tersebut kini didedahkan oleh Al Jazeera dalam dokumentari "Hunt for a fugitive".

Low, dalam rakaman audio bocor yang dibuat antara Mei dan November 2018, juga ingin menunjukkan bahawa tanggungjawab dana 1MDB yang lesap terletak di tempat lain dan mendakwa bahawa sebelum pilihan raya Amerika Syarikat, dia telah berada di ambang perjanjian dengan kerajaan AS.

"Pada dasarnya saya setuju untuk menyerahkan semua aset, AS menjualnya dan wang akan digunakan untuk membayar balik bon dolar AS secara langsung."

"AS tidak mempercayai kerajaan Malaysia sehingga mereka mengatakan mereka tidak akan memulangkan kembali wang itu," dakwa Low.

Dia nampaknya percaya Najib bimbang akan dikenakan hukuman jika Low bersetuju untuk memberikan kembali aset tersebut.

"Sekiranya saya menandatangani perjanjian itu, maka kerajaan (baru) Malaysia boleh berkata,'adakah anda pada dasarnya mengatakan bahawa wang itu berasal dari 1MDB?' Saya memberitahu mereka ia berbeza di AS, anda boleh menandatangani perjanjian penyelesaian yang tidak mengakui kesalahan. "

Tema berterusan kenyataan Low yang dirakam adalah keengganannya untuk mengakui melakukan kesalahan dan menjalani hukuman penjara, serta menuding pertanggungjawaban kepada Najib.


BACA BERKAITAN:

'Lebih setengah bilion dolar belanja barang kemas' - Jho Low tuding Najib


Low menggambarkan dirinya bersikap telus dan bersedia membuat perjanjian.

"Saya senang bercakap melalui WhatsApp, sembang video kerana saya benar-benar telus. Sekiranya anda semua perlu merakam, tidak mengapa. Saya tidak mempunyai masalah," katanya kepada kontak yang tidak dinamakan itu.

Low juga mendakwa bahawa lebih daripada AS$ 1 bilion (RM4.11 bilion pada kadar pertukaran hari ini) yang masuk ke dalam akaun bank peribadi Najib berasal dari 1MDB dan bukan derma dari keluarga diraja Arab Saudi.

Dia mendakwa "sumbangan" dari Arab Saudi itu hanya berjumlah "sebahagian kecil" sahaja dibandingkan dengan jumlah yang didapatkan dari 1MDB.

"Kenyataannya, memang benar bahawa Raja Abdullah benar-benar setuju untuk memberikan derma kepada PM tetapi itu adalah bahagian kecil daripada bahagian yang lebih besar.

"Kenyataannya adalah, orang Abu Dhabi memang ambil duit.

"Perbincangan saya dengan mereka adalah, lihatlah, apa sahaja yang saya selesaikan dengan DJJ yang digunakan untuk membayar bon 1MDB, anda semua harus menyelaraskannya dengan jumlah yang sama, yang mungkin hampir dengan AS$1 bilion," tambahnya.

'Tinggal di rumah anggota kanan Parti Komunis China'

Al Jazeera juga bercakap dengan ejen FBI yang sudah bersara, Bill McMurry yang mengetuai siasatan 1MDB.

McMurry berkata keterangan dalam kes itu sangat menarik.

"Ini benar-benar 'kesalahan besar' bagi pegawai awam mengambil wang dari tangan orang yang anda pilih untuk berkhidmat dan kemudian melakukannya pada skala yang dilakukan dalam kes ini. Ia cukup memualkan."

"Kami (juga) sangat yakin bahawa kami akan dapat membuktikan penglibatan Jho Low dan kedudukannya dalam skim ini," kata McMurry, yang kini bersama syarikat risikan swasta.

Seorang lagi bekas ejen khas FBI, Debra LaPrevotte, yang juga terlibat dalam peringkat awal penyiasatan 1MDB, berkata dakwaan Low itu melucukan.

"Sekiranya tidak ada kesalahan, orang tidak akan memulangkan kembali aset, bukan begitu? 'Tidak akan ada aset yang akan dirampas'. Kenyataan ini lucu. Ia seperti, jika saya terus mengatakan kebohongan, mungkin ada yang akan mempercayai saya," katanya.

Al Jazeera melaporkan sumber di Malaysia dan Macau sebagai mengesahkan ahli perniagaan dalam buruan itu tinggal di sebuah rumah yang dimiliki oleh anggota kanan Parti Komunis China di Macau sejak sekurang-kurangnya Februari 2018.

Baru-baru ini pada November 2019, Low terbang dari Bangkok ke Dubai serta berhenti selama tiga hari di Ahmedabad di India. Dia dilaporkan menggunakan pasport dari Grenada.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS