Siapa akan menjadi perdana menteri sekiranya gabungan besar politik, seperti yang dicadangkan Setiausaha Agung BN Annuar Musa, dibentuk?

Ini antara persoalan yang dilontarkan Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, dalam satu kenyataan hari ini.

Dia menimbulkan kekhuawatiran jika ada syarat dikenakan untuk Umno bergabung dengan gabungan besar itu.

"Gabungan besar atau syarat besar?

“Ketika dia mencadangkan untuk membentuk gabungan besar, itu adalah soalan bernilai RM2.6 bilion yang semua orang bertanya sama ada akan menjadi gabungan besar atau satu dengan syarat besar untuk meletakkan ahli politik Umno lain sebagai perdana menteri Malaysia seterusnya?

"Apakah bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi dengan 47 tuduhan rasuah atau kembalinya bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan dengan kesalahan jenayah? Adakah Annuar Musa sendiri akan menjadi timbalan perdana menteri?" soal Lim.

Semalam, Annuar (atas) yang juga anggota Parlimen Ketereh mencadangkan pembentukan gabungan politik besar yang melibatkan sekurang-kurangnya 12 hingga 13 parti politik.

Dia meminta penggabungan parti-parti yang melibatkan BN, Perikatan Nasional, Gabungan Parti Sabah dan Gabungan Rakyat Sarawak.

Bagaimapun, katanya, parti-parti berkenaan perlu membuktikan mereka dapat bekerja dengan berkesan dalam kerangka pemerintahan PN.

"Beberapa pihak yang bebas atau parti yang menolak Pakatan Harapan juga dapat disatukan," tambah Annuar.

Dia menamakan Parti Warisan Sabah, Parti Pejuang Tanah Air (diketuai oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad), Muda yang diketuai oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan parti-parti yang tidak diwakili di Dewan Rakyat seperti Berjasa, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Makkal Sakthi dan Parti Cinta Malaysia.

Justeru Lim berkata, Annuar perlu menjelaskan dengan jelas siapa calon perdana menteri yang akan dicalonkan untuk gabungan besar yang dicadangkan itu pada pilihan raya akan datang.

"Rakyat juga berminat untuk mengetahui parti mana yang akan menerajui sebaik sahaja gabungan besar yang dicadangkan ini dibentuk, Umno atau PAS atau parti baru?

“Atau adakah Annuar Musa mencadangkan untuk membubarkan kerjasama Umno dan PAS untuk membentuk gabungan besar?"

"Adakah Annuar turut mengakui bahawa kerjasama pemerintahan BN, Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional saat ini sudah gagal dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kekurangan majoriti untuk terus berkuasa, sebab itu dicadangkan untuk mengadakan gabungan besar?" tanya Lim lagi.