Malaysiakini
BERITA

'Rentas daerah dengan alasan tak tahu PKPB'

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Nov 2020, 7:27 pagi

Tidak tahu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di Kelantan antara alasan digunakan segelintir masyarakat untuk merentas daerah.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata alasan itu sering digunakan oleh mereka yang membuat perjalanan merentasi daerah apabila melalui sekatan polis di kawasan sempadan daerah.

"Macam-macam alasan diberikan, tidak tahu pelaksanaan PKPB antaranya. Ada yang kata mahu berjalan ke rumah kawan-kawan selain alasan bekerja tetapi gagal mengemukakan surat majikan.

"Kita percaya segala alasan itu hanya direka semata-mata mahu melepasi sekatan polis. Bagi mereka yang benar-benar mengemukakan alasan kukuh, kita membenarkannya.

"Jika tidak, kita akan arahkan mereka berpatah balik," katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Kelantan dikenakan PKPB sejak semalam selama dua minggu selepas berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19.

Sementara itu Shafien berkata, memasuki hari kedua pelaksanaan PKPB di Kelantan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di negeri itu masih memuaskan setakat ini.

"Susah untuk kita katakan tahap sebenar kerana baru memasuki hari kedua. Namun setakat ini boleh dikatakan memuaskan.

"Malah, jumlah kenderaan juga berkurangan kepada 30 hingga 40 peratus setakat ini.

"Kita berharap orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa dan jangan merentas daerah jika tiada keperluan mustahak," jelasnya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan