Malaysiakini
BERITA

PKPB: 93 pengunjung pusat hiburan ditahan

Bernama

Diterbitkan

Walaupun kes jangkitan Covid-19 tinggi dan aktiviti hiburan masih dilarang, ada individu mengambil risiko mengunjungi sebuah pusat hiburan karaoke di Jalan Ampang untuk berhibur, sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata seramai 93 pengunjung di pusat hiburan berkenaan ditahan dalam serbuan Op Hiburan Bersepadu tengah malam tadi.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju serta dibantu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Polis Kontinjen Kuala Lumpur hasil maklumat awam.

“Hasil pemeriksaan terhadap pengunjung yang terdiri daripada 66 pelanggan warga tempatan termasuk 22 wanita dan 27 warga asing termasuk 15 wanita mendapati mereka leka berhibur tanpa menghiraukan sebarang penjarakan fizikal.

"Siasatan awal mendapati pusat hiburan ini turut beroperasi secara haram selepas lesen perniagaannya tamat pada Julai lepas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Ros Azhan berkata pemeriksaan awal mendapati sebuah dewan serba guna ditempah khas dengan harga sehingga RM50,000 bersama pakej minuman keras untuk satu malam.

Katanya, kesemua pengunjung tempatan yang ditahan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Selain itu, pihaknya turut menahan dan menyiasat semua warga asing mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen, serta menjalankan siasatan mengikut Seksyen 32 Akta Kastam dan Eksais dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan.

“Setelah selesai urusan kompaun, kesemua OKK (Orang Kena Kompaun) telah diarahkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan