Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kehadiran Jeffrey Kitingan cetus bantahan MP
Diterbitkan:  Nov 24, 2020 3:19 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

PARLIMEN | Ahli parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan kehadiran Jeffrey Kitingan (Star-Keningau) dalam Dewan Rakyat selepas dia didakwa masih belum menghabiskan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari sejak datang dari Sabah.

Mereka kemudian mendakwa pihak berkuasa bersikap berat sebelah apabila diberitahu Kitingan mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk hadir persidangan hari ini.

Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) antara yang bangun mempersoalkan kehadiran Kitingan kerana difahamkan anggota parlimen Keningau itu masih berada di Sabah pada 12 Nov lalu.

Dia turut merujuk arahan yang menyatakan bahawa semua anggota parlimen dari Sabah perlu menjalani kuarantin selama dua minggu apabila datang dari negeri itu.

Tambahnya, jika Kitingan tiba di Kuala Lumpur 12 Nov, tempoh kuarantinnya hanya akan tamat pada 26 Nov ini.

Selepas beberapa anggota parlimen menggesa Kitingan keluar dari dewan sementara menunggu penjelasan perkara tersebut, Timbalan Speaker Azalina Othman Said membacakan jawapan daripada Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR).

“Ini jawapan dari SUDR, YB (Kitingan) dibenarkan hadir oleh doktor di parlimen kerana beliau mendapatkan recare order daripada KKM selepas tamat kuarantin,” katanya.

Azalina kemudian menjelaskan, Kitingan menerima surat pelepasan (relief order) tetapi tidak mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.

Beri salinan surat pelepasan

Penjelasan itu kemudian disusuli dengan jeritan “double standard” (berat sebelah) oleh beberapa anggota parlimen dalam Dewan Rakyat.

Aziz kemudian menyatakan penjelasan tersebut tidak adil kepada anggota parlimen Sabah yang lain.

“Tak adil Keningau dibenarkan masuk di dalam Dewan Rakyat ini. Ini soal keselamatan kami sebagai ahli parlimen,” jelasnya.

Azalina kemudian menggesa ahli parlimen yang tidak berpuas hati untuk mendapatkan penjelasan dari Speaker Azhar Harun.

Meskipun berada dalam Dewan Rakyat ketika kekecohan itu berlaku, Kitingan tidak memberi sebarang penjelasan.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklumat lanjut dari KKM berhubung surat pelepasan yang diberikan kepada Kitingan

Kitingan ketika dihubungi Malaysiakini kemudian memberikan salinan surat arahan pelepasan yang diterimanya.

Berdasarkan surat yang bertarikh 23 Nov itu, KKM menjelaskan bahawa Kitingan dikenal pasti sebagai kontak rapat dan diarahkan untuk menjalani perintah kuarantin di rumah pada 12 Nov sehingga 25 Nov.

Namun, dia dilepaskan dari perintah kuarantin itu dua hari sebelum tarikh tamat tempoh selepas didapati kesihatannya memuaskan.

“Berdasarkan laporan saringan yang dilakukan KKM, keadaan kesihatan didapati memuaskan.

"Oleh itu, anda diberi pelepasan (clearance) daripada menjalani pengawasan dan pemerhatian […] mulai dari tarikh yang disebutkan di bawah (23 Nov), ” kata surat itu.

Surat itu turut ditandatangani oleh pegawai kesihatan dari Jabatan Kesihatan Lembah Pantai.

  • Laporan tambahan oleh Ng Xiang YI

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS