mk-logo
Berita
Anwar enggan tunjuk sokongan lepas tak dapat kerjasama MP Umno
Diterbitkan:  Nov 26, 2020 10:42 AM
Dikemaskini: 10:48 AM

PARLIMEN | Pembangkang memutuskan untuk tidak mendedahkan bilangannya di Dewan Rakyat hari ini, selepas sekumpulan ahli Parlimen Umno memutuskan untuk menyokong Belanjawan 2021 ketika undian pertama.

Walaupun mereka menyuarakan bantahan menerusi undi suara, mereka tidak meminta agar undian belah bahagi diadakan, yang memerlukan setiap undi menyokong dan menolak dikira.

Ia akan mendedahkan jumlah sebenar ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, jika pembangkang tewas dalam undian itu, ia akan menunjukkan Muhyiddin memiliki majoriti dan seterusnya mengesahkan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Ahli parlimen yang bercakap dengan Malaysiakini dan enggan nama mereka didedahkan, memberitahu mereka menerima arahan saat akhir daripada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk tidak meminta undi belah bahagi.

Ia selepas Anwar menerima isyarat dari dalam Umno yang parti itu akan menyokong Belanjawan 2021 pada undi pertama hari ini.

Ketika ini, seramai 112 ahli Parlimen berada di pihak kerajaan dan 108 orang di pihak pembangkang.

Setakat ini, hanya Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang membayangkan tidak akan menyokong Belanjawan 2021.

Sekumpulan ahli Parlimen Umno pula tidak menunjukkan secara jelas pendirian mereka menjelang pengundian hari ini, dan mendesak beberapa perubahan dibuat dalam belanjawan itu.

Dalam ucapan penggulungannya, Menteri Kesihatan Tengku Zafrul Abdul Aziz menuruti sebahagian daripada desakan itu, termasuk meluaskan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada lebih ramai pencarum.

Keputusan untuk tidak mengadakan undi belah bahagi mungkin dilihat sebagai strategi prosedur atas faktor mereka tidak akan menang dalam proses itu, tidak semua anggota Parlimen pembangkang setuju dengannya.

Beberapa ahli Parlimen Amanah mengambil langkah berbeza dengan menyokong undi belah bahagi. Malah permintaan untuk undian itu dimulakan oleh Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena).

Dia disokong oleh ahli Parlimen dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diketuai Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi).

Turut menyokong adalah Hassan Karim (PKR-Pasir Gudang) yang dikenali dengan pendirian menongkah arusnya, serta Baru Bian (PSB-Selangau).

Bagaimanapun mereka hanya 13 orang, kurang berbanding jumlah minimum 15 ahli Parlimen untuk membolehkan undi belah bahagi diadakan.

Setakat ini, Malaysiakini telah mengenal pasti 11 daripada mereka.

Ahli Parlimen lain yang menyokong ialah Khalid Samad (Amanah-Shah Alam), Dr Hatta Ramli (Amanah-Lumut), Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat), Dzulkefly Ahmad (Amanah-Kuala Selangor), Shahruddin Md Salleh (Independent-Sri Gading), Amiruddin Hamzah (Independent-Kubang Pasu) and Mukhriz Mahathir (Independent-Jerlun).

'Digagalkan pembangkang sendiri'

Selepas sesi pengundian, Mukhriz menciap di Twitter: "Biar mati berdiri, dari hidup melutut."

Setiausaha Agung BN Annuar Musa pula berkata percubaan pembangkang untuk undi belah bahagi digagalkan oleh pembangkang sendiri.

Proses mengenal pasti ahli Parlimen lain yang menyokong sedang dibuat. Malaysiakini tidak termasuk dalam organisasi media yang dibenarkan membuat liputan di Parlimen.

Bagaimanapun, berdasarkan sejumlah rakaman dan pemeriksaan dengan ahli Parlimen, jelas kalangan dalam PKR dan DAP tidak menyokong permintaan Mahfuz walaupun menyuarakan pandangan ketika perbahasan sebelum proses undian.

Sejak September, Anwar mendakwa dia memiliki majoriti yang cukup di Dewan Rakyat dan malah mengisytiharkan kerajaan Muhyiddin sudah jatuh.

Dia turut mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober untuk menunjukkannya.

Hari ini, Anwar tidak mencelah ketika Zafrul menyampaikan ucapan penggulungan.

Ketika dihubungi selepas undian, beberapa ahli Parlimen PKR dan DAP enggan menjelaskan sebab mereka tidak menyokong permintaan undi belah bahagi.

"Anda tanya Port Dickson (Anwar)," kata seorang ahli Parlimen. Beberapa ahli Parlimen lain juga menunjukkan sentimen sama.

Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kapar) pula dilihat pada mulanya bangun untuk menyokong Mahfuz, tetapi kembali duduk tidak lama kemudian setelah menyedari kebanyakan ahli Parlimen PH tidak berbuat demikian.

Beberapa ahli Parlimen PH kini berdepan kritikan daripada penyokong masing-masing yang menuntut penjelasan mereka.

Misalnya Dr Kelvin Yii (DAP-Bandar Kuching) dan Kasthuri Patto (DAP-Batu Kawan) menyuarakan bantahan mereka terhadap belanjawan di media sosial.

Yii menyatakan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 masih belum lulus sepenuhnya.

"Bandar Kuching tidak meyokong belanjawan ini dan akan bersedia untuk membahaskannya di peringkat jawatankuasa," katanya di Facebook.

Ahli Parlimen masih ada peluang untuk menggesa undi belah bahagi untuk menguji majoriti Muhyiddin memandangkan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 perlu melepasi peringkat kedua (jawatankuasa) dan bacaan ketiga.

Bagaimanapun hanya masa dapat menentukan sma ada Anwar dapat meraih cukup sokongan untuk menghalang Belanjawan 2021 di peringkat itu.

Ia amat penting bagi membuktikan dakwaannya yang Muhyiddin sudah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat. Belanjawan ini juga dilihat sebagai satu bentuk undi percaya terhadapnya.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini