Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Percubaan pembangkang ditewaskan pembangkang sendiri - Annuar
Diterbitkan:  Nov 26, 2020 4:07 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

  • Dikemas kini dengan komen beberapa lagi pemimpin.

Setiausa Agung BN Annuar Musa memanjatkan syukur atas kelulusan Belanjawan 2021 menerusi undian suara di Dewan Rakyat tadi.

“Alhamdulillah bajet Membela rakyat lulus dengan lebihan suara pada bacaan kedua sebentar tadi.

“Percubaan pembangkang meminta undi belah bagi ditewaskan oleh pembangkang sendiri apabila mereka yang berdiri memohon undi sedemikian tidak mencukupi 15 orang seperti disyaratkan.

“Tahniah semua ahli parlimen,” ciap Annuar di Twitter. 

Cubaan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang mahu pengundian dibuat secara belah bahagi tidak kesampaian apabila cadangan itu gagal mendapat sokongan sekurang-kurangnya 15 ahli parlimen.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pula menyifatkan perkembangan hari ini sebagai kejayaan besar dalam usaha muafakat dan rundingan demi kebaikan rakyat.

“Lulus dengan suara ramai. Tiada belah bahagi. Tak mengundi. Hanya 13 MP pembangkang yang bangun untuk minta belah bahagi, sepatutnya perlu 15 orang.

“Kejayaan yang besar atas muafakat dan perundingan yang baik demi rakyat,” ciap Setiausaha Agung Umno merangkap ahli parlimen Potian Ahmad Maslan, dalam nada serupa dengan Annuar.

Untuk rekod ada beberapa cara sesuatu usul itu diterima atau ditolak.

Mengikut peraturan, speaker terlebih dahulu akan bertanya sokongan pihak yang setuju sebelum menguji undian suara mereka yang tidak bersetuju.

Sekiranya terdapat lebih banyak suara ahli parlimen yang bersetuju, undian akan diluluskan.

Namun, mana-mana ahli parlimen boleh mempertikaikan keputusan tersebut dengan meminta undian secara belah bahagi.

Bagaimanapun ia memerlukan sekurang-kurangnya 15 ahli parlimen menyokongnya. 

Antara ahli parlimen lain yang tidak ketinggalan menyuarakan tahniah atas kelulusan terhadap belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu, termasuklah:

Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS -Rantau Panjang)
Timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat

“Alhamdulillah. Syukur kepada Allah yang mendengar dan memperkenankan doa-doa kita semua. Takbir! Akhirnya bajet diluluskan.”

Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong)
Menteri luar

“Alhamdulillah, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 Peringkat Dasar”.

Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP Bandar Kuching)

“Saya harus minta maaf, saya bukanlah salah seorang daripada yang berdiri tadi. Saya nyatakan pendirian saya (membantah belanjawan) di media sosial sebelum undian, selepas mendengar ucapan. Ia (bantahan) dibuat menerusi undian suara,” ciapnya di Twiter.

 Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru)

“Bajet2021 belum lulus! Tenang”

 Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai)

“Belanjawan 2021 baru lulus undian peringkat dasar. Masih ada peringkat jawatankuasa, dan bacaan ketiga.”

 Dyana Sofya Mohd Daud

“Kenapa tak boleh bangun saja? Kalau kalah undi, kalahlah. Sekurang-kurangnya undi dan cuba!"

 “Saya yakin mereka ada alasan mereka. Seperti kamu, saya mahu mendengarnya (alasan itu),” katanya dalam ciapan susulan.

Michelle Ng Mei Sze
Adun Subang Jaya

“Jelaskan sekarang”.

Syahredzan Johan

“Saya tahu apa berlaku tetapi saya tidak tahu mengapa ia berlaku. Maaf kawan-kawan.”

 

Lihat Komen
ADS