Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih 100 majikan mohon pelan pemutihan Pati
Diterbitkan:  Nov 27, 2020 4:31 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Hampir dua minggu sejak kerajaan melaksanakan pelan pemutihan pendatang asing tanpa izin (Pati), Kementerian Sumber Manusia telah menerima permohonan dari 113 majikan yang ingin mengambil 17,292 pekerja.

Pelan yang dinamakan Pelan Rekalibrasi Pati itu adalah pelan pemutihan terbaru yang dilaksana kerajaan untuk menggaji pendatang asing tanpa dokumen di negara ini atau menghantar mereka pulang.

Kementerian melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia diberi kuasa untuk meluluskan kuota pengambilan pekerja.

Sementara Jabatan Imigresen ditugaskan untuk menjalankan penghantaran pulang secara sukarela pendatang asing tanpa dokumen, dalam syarat yang ditetapkan.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan mengulangi bahawa tidak ada pihak ketiga atau vendor yang dilantik untuk menguruskan program ini.

"Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pati tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kementerian memandang serius perkara ini dan akan menjalankan siasatan terperinci ke atas pihak yang mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pati bagi mengelakkan berlakunya manipulasi terhadap majikan atau Pati yang terlibat," kata kementerian itu.

Pelaksanaan program yang lalu yang dilancarkan dari era BN hingga Pakatan Harapan sering dikaitkan dengan penglibatan oran pihak ketiga atau orang tengah yang tidak sah yang didakwa membantu proses tersebut.

Ketika mentadbir, PH pada Jun 2018, telah menghentikan perkhidmatan tiga syarikat vendor yang dikontrak untuk menjalankan penggajian semula pekerja asing tanpa dokumen.

Pada masa itu, timbul persoalan mengenai perlunya kerajaan BN sebelum ini melantik tiga syarikat memonopoli pengendalian proses permohonan penggajian semula pekerja asing.

Pelan Rekalibrasi Pati yang dilaksanakan ketika ini akan berlangsung dari 16 Nov hingga 30 Jun tahun depan.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud sebelum ini mengatakan hanya majikan dari empat sektor, iaitu pembuatan, pembinaan, pertanian dan ladang yang dibenarkan untuk mengikuti program berkenaan.

Program ‘Back For Good’ yang dilancarkan pada Ogos hingga 31 Disember tahun lalu menyaksikan lebih daripada 180,000 pendatang asing tanpa dokumen dihantar pulang secara sukarela.

Lihat Komen
ADS