PM: Usaha Kerajaan negeri PP bantu Melayu tidak mencukupi
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak puas hati dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pualu Pinang bagi membantu orang Melayu di negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak puas hati dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pualu Pinang bagi membantu orang Melayu di negeri itu.
Menurut beliau, tidak dinafikan kerajaan negeri memang telah mengambil langkah membantu masyarakat Melayu di negeri itu tetapi apa yang dilakukannya setakat ini belum mencukupi.
"Bantuan itu ada tapi mungkin bukan sepenuhnya seperti yang diharapkan oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang, jadi itu mungkin menyebabkan banyak komen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pengasas Yayasan Budi Penyayang dan Bank Muamalat Malaysia Berhad cawangan Kepala Batas, di Kepala Batas.
Sehubungan itu beliau mahu kerajaan negeri perlu mengambil kira cadangan-cadangan yang disuarakan masyarakat Melayu di Pulau Pinang supaya kepentingan mereka terpelihara.
Menurut laporan Bernama, Abdullah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, berkata usaha yang dilakukan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui parti Gerakan selama ini belum cukup untuk membantu golongan itu.
"Keadaan itu mungkin menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati di kalangan masyarakat Melayu terhadap kerajaan negeri, yang dipimpin Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon," katanya.
Jumaat lepas, bekas ketua Pergerakan Pemuda Umno Tanjong Raja Munir Shah Raja Mustafa mendakwa Dr Koh gagal membantu Melayu Pulau Pinang dan sudah tiba masanya jawatan ketua menteri diserahkan kepada Umno secara mutlak bukannya menerusi sistem penggiliran.
Bagaimanapun, Ketua Menteri menolak dakwaan itu dan menjelaskan bahawa segala program pembangunan di negeri ini bukan keputusan beliau sendiri, sebaliknya persetujuan yang dicapai melalui musyawarah dengan anggota Exco negeri yang diwakili parti komponen Barisan Nasional (BN), termasuk Umno.
Tanah wakaf
Hampir semua Pergerakan Pemuda Umno bahagian di Pulau Pinang mahu membangkitkan cadangan penggiliran jawatan Ketua Menteri pada persidangan perwakilan mereka yang sedang berlangsung ketika ini kerana tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri yang didakwa gagal menjaga kepentingan orang Melayu.
Perdana Menteri berkata mungkin ada antara cadangan yang dikemukakan oleh masyarakat Melayu itu boleh dilaksanakan tetapi ada juga yang tidak dapat dijalankan kerana kerajaan negeri menghadapi masalah kekurangan sumber.
Abdullah berkata antara perkara yang sering dikaitkan dengan Melayu Pulau Pinang ialah pembangunan tanah wakaf yang masih tidak dapat dilakukan terutama di kawasan Georgetown.
Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM40 juta bagi pembangunan tanah wakaf orang Islam di seluruh negara dan kebanyakan tanah wakaf itu memang bernilai tinggi dan boleh digunakan untuk pembangunan yang mendatangkan hasil lebih baik, katanya.
Bagaimanapun, jelas beliau, timbul kesukaran untuk melaksanakannya berikutan halangan daripada segi hukum agama yang perlu diambil kira sebelum sebarang pembangunan di tanah berkenaan dilakukan.
"Ada di antara tanah itu merupakan tanah wakaf keluarga, untuk tujuan umum dan yang disediakan untuk masjid sahaja, bukannya untuk tujuan lain. Itu pun kena ambil kira juga. Kalau dia kata untuk masjid sahaja, tidak boleh guna untuk pembangunan lain. Itulah yang menjadi sedikit kesusahan dan halangan untuk menggunakan tanah itu sepenuhnya untuk memberi faedah ekonomi," katanya.

