Kesatuan kecewa pembersih hospital tak dapat elaun 'one-off' RM300
Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan menyatakan rasa kecewa mereka selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat menafikan pengorbanan anggota mereka semasa menghadapi Covid-19.
Merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof, di Dewan Rakyat semalam, kesatuan itu berkata pembersih hospital kerajaan juga bekerja di hospital-hospital menangani kes Covid-19 dan wad Covid-19.
Kata kesatuan itu mereka menjalankan tugas bersama-sama dengan petugas lain dan semasa membersihkan wad-wad pesakit Covid-19 mereka turut terdedah kepada kontak secara langsung.
Maka katanya risiko yang dihadapi oleh pekerja pembersih terbabit sama dengan petugas-petugas di wad Covid-19.
"Ini adalah kali kedua pekerja cleaner (pembersih) tidak dapat elaun atau bayaran daripada kerajaan untuk frontliner (barisan hadapan).
"Pada Mac lalu, kerajaan mengumumkan elaun khas RM600 kepada barisan hadapan, tetapi pekerja pembersih hospital tidak diiktiraf sebagai barisan hadapan, maka mereka tidak dapat elaun khas ini.
"Dalam belanjawan 2021, sekali lagi mereka tidak dapat bayaran one-off RM300. Ini amat tidak munasabah, dan tidak hargai jasa pekerja tukang cuci," kata kesatuan itu dalam kenyataan media hari ini.
Terdahalu, Mohd Redzuan menegaskan bayaran one-off RM300 itu hanya untuk "orang yang lebih tinggi risikonya" seperti petugas yang berurus dengan golongan tinggi risiko atau pesakit.
Katanya, ia melibatkan petugas bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti doktor, jururawat dan pembantu perubatan.
Bagaimanapun, Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan menegaskan pekerja tukang cuci juga mengorbankan keselamatan sekali gus berhak mendapat imbuhan tersebut.
"Kesatuan ingin menegaskan bahawa pekerja tukang cuci juga frontliner yang penting dalam usaha menghentikan wabak Covid-19.
"Justeru, hargai jasa pekerja cleaner, berikan semua elaun khas yang didapati oleh barisan hadapan kepada pekerja tukang cuci juga," jelasnya.

