mk-logo
Berita
Menteri: Tiada perlombongan unsur nadir bumi di Kedah sehingga SOP dipatuhi
Diterbitkan:  Dec 3, 2020 10:06 PM
Dikemaskini: 4:32 PM

Tiada kelulusan skim pengendalian melombong unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) sehinggalah SOP dan peraturan dipatuhi, maklum Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dr Shamsul Anuar Nasarah.

"Pematuhan sepenuhnya SOP ini merupakan syarat utama sebelum memulakan sebarang perlombongan yang dikawal melalui Skim Pengendalian Melombong (Operational Mining Scheme – OMS) oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

"Selain penguatkuasaan yang akan dijalankan oleh JMG negeri, Jabatan Perhutanan negeri juga berperanan memastikan tiada perlombongan NR-REE dijalankan tanpa kelulusan teknikal dan tiada sebarang sebarang aktiviti perlombongan dijalankan di kawasan hutan simpan kekal.

"Ini juga dapat mengelakkan insiden pencemaran yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan masyarakat," katanya pada satu kenyataan hari ini mengulas mengenai cadangan perlombongan unsur nadir bumi di Kedah.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata bahawa kerajaan negeri telah mengadakan perjanjian dengan sebuah syarikat yang berpusat di Kuala Lumpur untuk mencari dan mengekstrak elemen nadir bumi (REE) di negeri ini .

Ketika mengumumkan perkara itu, Sanusi berkata syarikat tempatan itu juga bekerjasama dengan firma antarabangsa untuk tinjauan cari gali dan mereka akan melakukan kerja-kerja penerokaan dan pengekstrakan itu di Sik.

Sanusi juga memberi jaminan bahawa bahan galian tersebut tidak radioaktif, dan kerja-kerja cari gali dan pengekstrakan bahan galian semulajadi itu tidak akan melibatkan aktiviti perlombongan.

Bagaimanapun, kata Anuar, kerajaan sedang menggerakkan pelbagai usaha untuk merealisasikan potensi perlombongan sumber mineral NR-REE supaya menjadi "sumber baru ekonomi negara."

Jelas Shamsul, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa) yang diterajuinya merupakan agensi yang bertanggungjawab memastikan aktiviti perlombongan dan pengurusan sumber asli negara dilaksanakan secara mampan.

"Beberapa kerajaan negeri juga telah menunjukkan minat dan mengambil inisiatif untuk menerokai potensi pembangunan NR-REE ini," katanya lagi.

Sumber NR-REE negara bernilai RM741 bilion

Menurut Anuar lagi, kajian terperinci akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Kedua belas (RMK-12) untuk pemetaan kuantiti rizab NR-REE yang lebih tepat.

"Berdasarkan kajian tinjauan yang dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMKe-11), sumber mineral negara dianggar berjumlah RM4.11 trilion yang merangkumi mineral berlogam, mineral bukan logan dan mineral tenaga.

"Daripada anggaran ini, sumber NR-REE di Malaysia adalah berjumlah 15.188 juta tan metrik dengan nilai sekitar RM741 bilion (AS$182 bilion).

"Sumber ini kebanyakannya terdapat di negeri Kedah, Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan beberapa negeri lagi," katanya. 

Jelasnya, kerajaan sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk perlombongan NR-REE.

"SOP ini turut merangkumi keseluruhan rantaian nilai mineral daripada perlombongan hingga kepada pengurusan sisa dan penutupan lombong, secara progresif juga perlu disokong dengan perundangan lain yang berkaitan iaitu Akta Pembangunan Mineral 1994, Akta Penyiasatan Kajibumi 1974, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Enakmen Mineral Negeri-Negeri," katanya.

Menurutnya, Ketsa akan mengadakan sesi konsultasi dengan semua pihak berkepentingan yang terdiri daripada kerajaan negeri, agensi persekutuan, NGO dan wakil industri untuk memuktamadkan SOP NR-REE berkenaan.

Kesan terhadap masyarakat, alam sekitar

Anuar juga berkata kerajaan juga telah bersetuju mengaktifkan semula Majlis Mineral Negara (MMN) bagi menyokong agar industri mineral negara terus berkembang.

"Yang akan menjadi platform tertinggi melibatkan keahlian Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di mana penyelarasan dasar dan isu-isu utama berkaitan pembangunan industri mineral akan dipertimbangkan.

"Mesyuarat pertama MMN dijangka diadakan pada penghujung Disember ini," jelasnya lagi.

Terdahulu hari ini, NGO alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia menggesa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) untuk mendedahkan dasar kerajaan berhubung pembangunan industri nadir bumi.

Kerajaan negeri Kedah juga diminta mendedahkan kepada orang ramai penjanjian antara syarikat yang terlibat dalam usaha sama itu.

"Orang ramai berhak untuk mengetahui apakah yang ditugaskan untuk dilakukan oleh syarikat itu dan di manakah aktiviti penerokaan itu akan dijalankan dan apakah perlindungan untuk alam sekitar dan sosial yang dipertimbangkan.

"Penerokaan REE bukanlah tanpa kesan sosial dan alam sekitar, terutama sekali apabila unsur itu ditemui di kawasan alam sekitar yang amat sensitif seperti hutan simpan atau di mana komuniti tempatan tinggal," kata Sahabat Alam Malaysia.

Lihat Komen
ADS