Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB perlu perjelas projek cari gali nadir bumi di Kedah - NGO
Diterbitkan:  Dec 3, 2020 2:56 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyuarakan kebimbangan serius terhadap pengumuman oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kerajaan negeri telah mengadakan perjanjian dengan sebuah syarikat yang berpusat di Kuala Lumpur untuk mencari dan mengekstrak elemen nadir bumi (REE) di negeri ini .

Ketika mengumumkan perkara itu, Sanusi berkata syarikat tempatan itu juga bekerjasama dengan firma antarabangsa untuk tinjauan cari gali dan mereka akan melakukan kerja-kerja penerokaan dan pengekstrakan itu di Sik.

Sanusi juga memberi jaminan bahawa bahan galian tersebut tidak radioaktif, dan kerja-kerja cari gali dan pengekstrakan bahan galian semulajadi itu tidak akan melibatkan aktiviti perlombongan.

"Menurut laporan media, menteri besar mendakwa REE tidak radioaktif dan telah ditemui di Sik, Ulu Muda dan Baling di Kedah.

"Dakwaan yang sama dibuat pada tahun lepas oleh bekas menteri air, tanah dan sumber asli (Dr Xavier Jayakumar) berhubung perjanjian antara syarikat China dan Kerajaan Negeri Perak untuk meneroka galian nadir bumi.

"Usaha sama Perak itu melibatkan kerajaan negeri dan syarikat China, Chinalco GXNF Rare Earth Development untuk meneroka galian nadir bumi," kata Presiden NGO Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman dalam satu kenyataan hari ini.

Sanusi berkata, galian tersebut mendapat permintaan tinggi dalam pembuatan komponen untuk telefon pintar dan komputer riba, tetapi tidak menyebut jenis unsur nadir bumi yang terlibat.

Pejabatnya kemudian berkata angka yang betul untuk simpanan galian nadir bumi Kedah adalah bernilai sekitar RM62 bilion.

NGO alam sekitar itu berkata projek usaha sama di Perak melibatkan kerajaan negeri dan sebuah syarikat China, Chinalco GXNF Rare Earth Development yang akan melakukan penerokaan bahan galian nadir bumi.

"Jawapan balas pihak kementerian kepada SAM mendakwa bahawa China mempunyai kepakaran dalam mengenal pasti potensi sumber nadir bumi di Perak, terutama sekali tanah liat ion-adsorption, tidak mengandungi thorium atau uranium sebagai sisa produk-sampingan," katanya.

Menurut SAM, pihaknya percaya bahawa projek perkongsian di Kedah itu mungkin serupa dengan yang dilakukan di Perak dan meminta menteri besar untuk mengesahkan sama ada usaha sama tersebut melibatkan syarikat China yang sama atau tidak.

SAM mendakwa kajian awal mengenai pengalaman di China menunjukkan bahawa terdapat kerosakan alam sekitar yang sangat serius dan kesan burruk terhadap kesihatan manusia yang berkaitan dengan perlombongan dan pencucian larutan sumber tanah pencerapan ion untuk nadir bumi itu.

"Pertama sekali, demi ketelusan, kami menggesa kerajaan negeri Kedah mendedahkan kepada orang ramai penjanjian antara syarikat yang terlibat dalam usaha sama itu. 

"Orang ramai berhak untuk mengetahui apakah yang ditugaskan untuk dilakukan oleh syarikat itu dan di manakah aktiviti penerokaan itu akan dijalankan dan apakah perlindungan untuk alam sekitar dan sosial yang dipertimbangkan.

"Penerokaan REE bukanlah tanpa kesan sosial dan alam sekitar, terutama sekali apabila unsur itu ditemui di kawasan alam sekitar yang amat sensitif seperti hutan simpan atau di mana komuniti tempatan tinggal.

"Kedua, kami menggesa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) untuk mendedahkan dasar kerajaan berhubung pembangunan industri nadir bumi, dan menjalankan rundingan awam sebelum membenarkan negeri-negeri memulakan usahasama sebegini, bukan sahaja di Kedah dan Perak tetapi juga di tempat lain," katanya.

SAM memberi amaran bahawa kerajaan persekutuan dan negeri tidak boleh dibutakan dengan janji bernilai berbilion dan bertrilion ringgit dalam kaitannya dengan industri nadir bumi, yang dilihatnya sebagai industri kotor dan beracun, sama dengan apa yang diketahui mengenai industri plastik.

"Kita perlu mencari alternatif kepada nadir bumi memandangkan ia bersifat merosakkan alam.

"Malaysia mestilah memberikan keutamaan yang betul dan mengutamakan alam sekitar dan tidak terus menjarah dan merosakkan sumber asli kita, atas nama menjana kekayaan ekonomi. 

"Jelas, kita tidak pernah belajar daripada pengajaran yang lepas terhadap apa yang dikatakan benar-benar mampan, tetapi sebagai ganti meninggalkan legasi toksik untuk generasi akan datang," kata SAM.

Malaysiakini  telah menghubungi Pejabat Menteri Besar Kedah bagi mendapatkan penjelasan mengenai hal ini dan masih menunggu maklum balas lanjut.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS