mk-logo
Berita
'Perkauman': Menteri perpaduan perlu tegur MB Kedah - Senator
Diterbitkan:  Dec 5, 2020 2:08 PM
Dikemaskini: 6:08 AM

Menteri Perpaduan Nasional Halimah Mohamed Sadique perlu menegur Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kerana menggunakan isu perkauman terhadap pengkritiknya berbangsa India.

Senator P Waytha Moorthy yang juga bekas menteri perpaduan membuat gesaan ini sebagai maklum balasnya terhadap kenyataan Sanusi mengenai isu perobohan kuil di Kedah.

"Menteri perpaduan nasional mesti menasihati dan menegur menteri besar Kedah atas kenyataannya yang rasis terhadap pemimpin MIC dan DAP.

"Penghinaan perkauman tidak baik dalam masyarakat berbilang kaum dan pelbagai budaya," katanya pada satu kenyataan.

Terdahulu, Sanusi yang juga pemimpin PAS Kedah menjawab kritikan pemimpin India MIC dan DAP mengenai perobohan kuil Hindu, menimbulkan persoalan kenapa kedua parti itu tidak membangkitkan isu perobohan premis lain seperti gelanggang silat, bengkel dan gerai.

"Jangan sampai kita bergaduh pada masa depan hanya kerana 'mabuk todi populariti', mahu menunjuk jaguh kaum pada masa sekarang," kata Sanusi.

Waytha Moorthy, yang juga presiden Parti Kemajuan Malaysia, berkata Sanusi seharusnya menangani isu utama iaitu, kebebasan beragama di Kedah.

Menteri besar katanya, perlu menangani isu sebenar kegagalannya berhubung dalam soal kebebasan beragama dengan menyediakan tanah untuk kuil Hindu sebagai alternatif daripada menjadikannya serangan perkauman terhadap penganut Hindu.

Waytha Moorthy menambah kepimpinan PAS pusat juga perlu mempertimbangkan semula sama ada Sanusi adalah orang yang paling layak berkhidmat sebagai menteri besar Kedah.

Sanusi mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah pada Mei setelah kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah yang dipimpin oleh Mukhriz Mahathir.

Lihat Komen
ADS