Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Penafian PN tambah risiko penurunan penarafan kredit negara'
Diterbitkan:  Dec 7, 2020 4:42 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Penurunan penarafan kredit negara oleh Fitch Rating baru-baru ini adalah satu bentuk undi tidak percaya oleh pakar kewangan bebas dan antarabangsa mengenai prestasi ekonomi kerajaan, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, penafian Perikatan Nasional (PN) bahawa Malaysia sedang mengalami krisis politik dan ekonomi menambah risiko penurunan lanjut penarafan kredit negara pada masa akan datang.

"Malangnya, kerajaan Persekutuan PN memilih untuk menafi dan tidak menangani penurunan metrik kredit utama Malaysia yang menyebabkan penurunan dari A- ke BBB +, iaitu ketidakstabilan politik dan kurangnya ketelusan atau piawaian tadbir urus.

"Pemecatan Menteri Besar Perak secara mengejut oleh sekutu PN iaitu Umno pada minggu lalu, menunjukkan penilaian Fitch adalah tepat mengenai majoriti tipis parlimen dua kerusi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penyebab ketidakstabilan politik," katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng berkata Muhyiddin harus berani menangani ketidakstabilan politik dengan membenarkan usul tidak percaya di parlimen.

"Penolakan beliau untuk melakukannya hanya menunjukkan kelemahan politiknya dan kekhuatiran bahawa beliau telah kehilangan majoriti parlimennya.

"Sebarang penangguhan hanya akan melanjutkan budaya politik toksik semasa yang mengorbankan kepentingan negara demi survival peribadi yang mementingkan diri sendiri," katanya.

Guan Eng turut menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan unjuran pertumbuhan yang realistik mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Fitch menjangkakan jumlah hutang kerajaan akan meningkat kepada 76 peratus daripada KDNK pada tahun 2020 daripada 65.2 peratus daripada KDNK pada tahun 2019, dan hutang langsung kerajaan pada RM874.27 bilion atau 60.7 peratus daripada KDNK pada akhir bulan September, yang berada di atas had perundangan 60 peratus daripada KDNK.

"Lebih penting lagi, Fitch berpandangan bahawa kemerosotan tadbir urus dan ketidakpastian politik yang berterusan dapat melembapkan sentimen pelabur, yang membataskan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Pada 4 Okt lalu, Fitch Rating mengumumkan penurunan penarafan ke atas Malaysia daripada ‘A-’ kepada ‘BBB+’, dengan prospek bertambah baik daripada negatif kepada stabil.

Tengku Zafrul berkata semakan semula itu disebabkan terutamanya impak negatif daripada pandemik Covid-19 ke atas kedudukan fiskal negara dan situasi politik tempatan ketika ini.

“Dengan menumpukan semata-mata kepada kedudukan fiskal dan situasi politik, keputusan Fitch itu tidak memberi keadilan dan penghargaan yang sewajarnya kepada usaha-usaha tindak balas krisis kita dan asas ekonomi kukuh kita,” katanya.

Lihat Komen
ADS