Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penurunan penarafan oleh Fitch tak adil, kata menteri kewangan

Semakan semula penarafan ke atas Malaysia oleh Fitch Ratings adalah disebabkan terutamanya impak negatif daripada pandemik Covid-19 ke atas kedudukan fiskal negara dan situasi politik tempatan ketika ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau melahirkan rasa kecewa kerajaan dengan penarafan tersebut terutamanya ketika tempoh luar biasa ketika ini memandangkan penularan pandemik itu masih lagi belum mereda.

Lagipun, katanya, Malaysia telahpun mula melihat petanda pemulihan ekonomi hasil daripada pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan sejak Mac 2020.

“Dengan menumpukan semata-mata kepada kedudukan fiskal dan situasi politik, keputusan Fitch itu tidak memberi keadilan dan penghargaan yang sewajarnya kepada usaha-usaha tindak balas krisis kita dan asas ekonomi kukuh kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fitch hari ini mengumumkan penurunan penarafan ke atas Malaysia daripada ‘A-’ kepada ‘BBB+’, dengan prospek bertambah baik daripada negatif kepada stabil.

- Bernama

Lihat Komen
ADS