Kerajaan sahkan projek insinerator Broga dibatalkan
"Saya gembira sekali mendengar berita ini. Sekarang kami boleh kembali hidup seperti biasa!" kata penduduk Kampung Broga, Alice Lee selepas diberitahu bahawa projek insinerator bernilai RM1.5 bilion itu telah dibatalkan.
"Saya gembira sekali mendengar berita ini. Sekarang kami boleh kembali hidup seperti biasa!" kata penduduk Kampung Broga, Alice Lee selepas diberitahu bahawa projek insinerator bernilai RM1.5 bilion itu telah dibatalkan.
"Saya akan mengumumkan sekarang mengenai berita baik ini kepada jawatankuasa (membantah projek Broga) kami serta para penduduk. Kami akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan tindakan kami selanjutnya," katanya ketika dihubungi hari ini.
"Ini satu kejutan...ia berlaku secara tiba-tiba tetapi kami amat gembira sekali. Kami mahu mendengar pengumuman rasmi mengenainya dan kini lega daripada tekanan sejak empat tahun yang lalu."
Lee mengulas laporan malaysiakini yang memetik akhbar Bussiness Times Singapura semalam mengenai pembatalan projek tersebut.
Hari ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengesahkan bahawa kerajaan telah menghantar surat pembatalan tersebut dan tuntutan pampasan juga telah difailkan.
Jurucakap kementerian itu, yang meminta soalan bertulis dihantar mengenai butiran lanjutnya, berkata ianya dibuat baru-baru ini kira-kira dua minggu yang lalu.
Kementerian tersebut merupakan penyokong pembinaan projek insinerator tersebut yang dijadualkan mula beroperasi tahun epan.
Akhbar Business Times Singapura itu juga melaporkan sebelum bahawa konsortium Jepun Ebara Corp dan rakan kongsi tempatan Hartasuma Sdn Bhd telah memfailkan tuntutan pampasan berjumlah RM500 juta.
Notis apa?
Bagaimanapun, apabila dihubungi, seorang pegawai Hartasuma menafikan laporan akhbar Business Times itu.
"Tidak ada sebarang pengesahan mengenainya. Kami tidak menerima sebarang notis dari kerajaan dan kita tidak tahu menahu mengenainya," kata pegawai tersebut yang enggan menyebut namanya.
"Saya sendiri tidak tahu di mana mereka (akhbar Singapura) mendapat maklumat tersebut. Saya hanya dengar orang bercakap mengenainya tetapi kami adalah kontraktornya dan kami tidak mendengar apa-apa pun.
"Malah, kami membuat laporan mengenai kemajuan projek tersebut dan mesyuarat dua mingu sekali dengan pihak kementerian masih diadakan sejak dua tahun lalu," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.;
Projek tersebut dicadang dibina di Broga pada November 2002 selepas cadangan awal untuk membinanya di Puchong mendapat bantahan besar-besaran daripada orang ramai, termasuk mengancam mereka akan mengundi pembangkang dalam pilihanraya.
Pembatalan projek tersebut telah mengubah secara mendadak kehidupan Lee dan lebih 200 penduduk lain di Broga yang sebelum ini, tidak mengenal penat lelah membantah pelaksanaan projek tersebut kerana ia mengancam persekitaran, kesihatan serta kehidupan penduduknya.
Saman juga difailkan pada 8 November 2003 memohon perintah mahkamah bagi mendapatkan butir-butir lanjut mengenai projek tersebut dan ia masih menunggu perbicaraan di Mahkamah Tengah Shah Alam.
"Kami sangka perkara ini akan diselesaikan di mahkamah atau menerusi pengumuman Jabatan Alam Sekitar bahawa tapak tersebut tidak sesuai.
"Kami juga akan menunggu apakah yang akan dikatakan oleh peguam kerajaan di mahkamah (dijadualkan) pada 22 September depan," kata Lee yang juga ahli jawatankuasa membantah projek Broga. Berita asal

