Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak mengadap Sultan: 'PAS tak mahu terkhilaf buat keputusan'
Diterbitkan:  Dec 9, 2020 9:01 AM
Dikemaskini: 1:02 AM

Keputusan untuk tidak mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah seperti yang dijadualkan semalam adalah untuk mengelak kesilapan dalam membuat keputusan, kata setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun katanya, PAS telah mengarahkan semua Adun PAS untuk hadir ke istana setelah menerima titah mengadap.

Perkara itu dinyatakan Takiyuddin dalam satu kenyataan malam tadi.

"PAS sebagai parti yang sentiasa menghormati dan menjunjung kedaulatan institusi beraja sentiasa memastikan selayaknya sebarang urusan yang berkaitan dengannya perlu ditekuni dengan penuh teliti dan beradab.

"Adapun dalam hal kehadiran ke Istana Perak, disebabkan PAS tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan terutama jika ianya bersabit dengan titah Sultan, maka PAS mengarahkan semua Adun PAS untuk hadir ke Istana setelah menerima titah mengadap tuanku sultan," katanya.

Takiyuddin berkata PAS akan berusaha menyelesaikan kemelut politik di Perak secara berhemat bersama-sama parti Perikatan Nasional (PN) yang lain.

Wakil PAS sepatutnya mengadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di Ipoh pada jam tiga petang semalam.

Mengesahkan perkara itu, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata pembatalan itu kerana mereka belum ada sebarang keputusan berhubung soal kerajaan Perak yang baru.

Sumber dari istana pula berkata pembatalan itu selepas wakil PAS menarik balik janji temu itu dengan alasan mendapat arahan pimpinan tertinggi parti.

Umno dan PH telah pun mengadap Sultan Nazrin pada minggu lalu.

Untuk rekod PAS mempunyai tiga Adun dalam DUN Perak. Selain Razman, dua yang lain ialah Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Dalam undian usul percaya ke atas Ahmad Faizal pada 4 Dis lalu ketiga-tiga Adun PAS memberikan sokongan kepada menteri besar terbabit.

Pada hari sama, Takiyuddin mengeluarkan kenyataan bahawa PAS tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan baru di Perak.

Bagaimanapun dua hari kemudian Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mereka tetap akan mempertahankan dan mengukuhkan kerajaan PN dan rundingan akan dibuat berkenaannya.

Lihat Komen
ADS