Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS menegaskan betapa parti itu komited untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.

Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, secara prinsip PAS mahu mempertahankan PN walaupun secara moralnya parti itu berada di pihak yang menyokong bekas menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, apabila usul percaya menteri besar dibawa oleh Umno, maka PAS mengundi yakin kepada Faizal.

"Dari segi moralnya apabila kita menyokong dan tiba-tiba undi itu kalah, lepas itu (kalau) kita duduk dalam kerajaan yang tak terima usul itu ia akan menggambarkan kita tidak konsisten.

"Sebab itu bila usul itu dibawa kita sokong untuk kestabilan, walau bagaimanapun kita akan lihat di peringkat Umno terutama sekali dalam perundingan siapa akan menjadi menteri besar baru...

"Saya sebut secara prinsip sebab pendirian parti sudah dibuat sebelum undian (usul percaya), apabila mereka nak buat usul percaya kita buat mesyuarat dan ambil pendirian parti. Jadi kita istiqamah dengan pendirian parti.

"Bukan nak timbul polemik baru bagi kita secara moralnya bila kita rasa Faizal harus kekal, patutnya kita tidak berada bersama (kerajaan baru)," katanya kepada media di Pasir Puteh, Kelantan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pendirian PAS susulan krisis yang berlaku di Perak selepas Ahmad Faizal gagal mendapat majoriti dalam usul undi percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri, Jumaat lalu.

Terdahulu, PAS melalui Setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan, menegaskan parti itu tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan baru di negeri itu susulan apa yang berlaku.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim berkata, secara prinsip PAS tetap mempertahankan, membina dan mengukuhkan kerajaan PN.

"Jadi perundingan akan berjalan, saya fikir kaedah kita apa-apa isu kalau kita duduk, berbincang kita akan jumpa jalan penyelesaian," katanya yang juga menteri alam sekitar dan air.

Sementara itu ditanya mengenai pendirian yang diambil PAS untuk tidak terlibat dalam pembentukan kerajaan baru di Perak, Tuan Ibrahim berkata, dua aspek yang perlu dilihat iaitu sama ada menyokong tetapi tidak berada dalam pentadbiran atau bersama menyertai kerajaan.

"Jadi tidak bersama itu bukan bermakna tidak menyokong kerajaan tetapi kita tidak duduk di dalam (pentadbiran).

"Bagaimanapun ini akan dibincang, saya yakin Umno akan bincang dengan PAS untuk cari penyelesaian," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS