Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun DAP: Kemelut Perak hanya mainan politik Umno, PH tak perlu terlibat
Diterbitkan:  Dec 9, 2020 10:27 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Seorang lagi Adun DAP di Perak, Terence Naidu menyuarakan bantahan terhadap kerjasama parti itu dengan Umno dalam pembentukan kerajaan negeri yang baru.

Terence yang merupakan Adun Pasir Bedamar, berkata DAP sebagai parti berprinsip tidak patut berganjak daripada pendirian untuk tidak bekerjasama dengan parti yang menurutnya terpalit dengan tuduhan rasuah.

Dia juga berkata apa yang berlaku di Perak, iaitu penyingkiran Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar, hanyalah untuk kepentingan Umno.

"Kita tidak harus lupa, bahawa pencaturan terkini adalah hanya untuk menukar menteri besar untuk manfaat mereka sendiri.

"Sekiranya mereka hanya ingin menteri besar dari Umno, maka Perikatan Nasional (PN) akan kekal menerajui kerajaan negeri. Kalau tidak, mengapa turunkan MB dari Bersatu?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, PH tidak seharusnya terlibat dalam apa yang disifatkannya sebagai "permainan politik pemimpin atasan Umno" jika tidak ingin dihukum pengundi dalam PRU akan datang.

Terence merupakan seorang lagi DAP yang menyuarakan bantahan terhadap kerjasama itu selepas Adun Pokok Assam, Leow Thye Yih pada 6 Dis lalu.

Leow turut mengajak para Adun DAP lain di Perak untuk turut mengambil pendirian sama.

Ia susulan kenyataan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming bahawa pihaknya sedia bekerjasama dengan Umno 'demi kepentingan rakyat' dan bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.

PKR dan Amanah Perak turut berpandangan sama.

'Bagaimana saya nak jawab pada pengundi?'

Untuk rekod, Leow pernah berselisih dengan Nga pada tahun lalu, susulan kenyataan pengerusi DAP Perak itu berhubung kes tuduhan rogol yang dihadapi oleh Paul Yong Choo Kiong ketika itu.

Susulan itu, dia dan Leong Cheok Keng (Adun Malim Nawar) meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa DAP Perak.

Berkenaan isu ini, Leong juga mengkritik kenyataan Nga dan berkata Umno kini nampaknya bersikap dingin terhadap DAP.

Leong berkata dia, Terence dan Leow hanya menerima arahan agar menolak usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal di hari usul itu dibentangkan di DUN.

Sebelum itu, katanya, mereka tidak tahu-menahu tentang perkara itu.

Leong Cheok Keng

"Pada hari itu, Adun Sungkai A Sivanesan (juga daripada DAP) menghantar pesanan dan meminta kami menolak usul itu. Kami pada mulanya ingin berkecuali, tetapi selepas bertanya setiausaha agung Lim Guan Eng, dia meminta kami mengikut arahan itu.

"Ramai orang, termasuk pengundi bertanya sama ada saya sokong DAP bekerjasama dengan Umno. Bagaimana saya patut jelaskan? Saya benar-benar tak tahu tentang perkara ini dan tidak dapat wakili kawasan saya untuk suarakan pandangan," katanya.

Dalam pada itu, Terence turut membangkitkan peranan Umno dalam kejatuhan pentadbiran Pakatan Rakyat di Perak pada 2009 dan kerajaan PH pada awal tahun ini.

"Sekiranya kerjasama bermakna menyokong pembentangan belanjawan yang memanfaatkan rakyat di kala pandemik Covid-19, sudah pasti saya akan menyokongnya demi kemajuan negeri. Tetapi bukan jenis kerjasama membabi buta yang menyokong mana-mana salah guna kuasa dan korupsi.

"Saya percaya Tuanku Sultan Perak akan membuat segala keputusan yang dilihat baik dan mendahulukan rakyat negeri," katanya lagi.

DAP merupakan parti yang memegang kerusi DUN kedua terbanyak di Perak dengan 16 kerusi. Umno pula memegang 25 kerusi.

Lihat Komen
ADS