Malaysiakini
BERITA

DAP Perak sedia kerjasama dengan Umno, demi kepentingan rakyat

Ng Xiang Yi

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Dis 2020, 6:02 pagi

DAP Perak sedia bekerjasama dengan Umno 'demi kepentingan rakyat' dan bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata demikian kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai kenyataan terdahulu daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid sebelum ini berkata dia telah berbincang dengan semua parti dalam usaha membentuk kerajaan baru di Perak, sama ada dalam Perikatan Nasional (PN) mahupun PH, Nga memberikan pandangan senada.

“Demi kepentingan rakyat, DAP Perak sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang boleh membantu membentuk kerajaan yang berbilang kaum, kuat, dan stabil.

“Saya terbuka dengan sebarang perbincangan yang membina. Kami bersedia,” kata Nga yang juga Adun Aulong dan ahli parlimen Teluk Intan.

Umno memiliki 25 kerusi dalam kerajaan negeri Perak yang mempunyai jumlah keseluruhan 59 kerusi, manakala DAP pula memiliki 16 kerusi.

Kenyataan daripada dua pemimpin parti berkenaan membuka kemungkinan ke arah penubuhan satu kerajaan negeri yang boleh dikatakan tidak dijangkakan dalam sejarah politik negara.

Parti-parti lain dalam kerajaan negeri termasuklah Bersatu (5 kerusi), Amanah (5 kerusi), PKR (3 kerusi), PAS (3 kerusi), Gerakan (1 kerusi) dan satu Adun bebas.

Sementara itu, Pengerusi PKR Perak Farshah Wafa Salvador Rizal Mubarak turut mengesahkan dia telah bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno bagi membincangkan soal pembentukan kerajaan negeri yang baru.

“Kami bersedia bekerja dengan Umno demi kepentingan rakyat. Sekarang terpulang kepada mereka (the ball is in their court),” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, PKR terbuka untuk berganding bahu bersama Umno, dengan syarat, ia turut melibatkan rakan-rakannya dalam blok PH iaitu DAP dan Amanah.

“Kami masih dalam perbincangan,” katanya.

Hari ini, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerima peletakan jawatan bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu dan barisan exconya susulan kehilangan sokongan majoriti dalam usul undi percaya yang dimulakan Umno, pada sidang DUN 4 Dis lalu.

Kata Zahid, susulan pertemuannya dengan Sultan Perak, dia akan menyerahkan senarai cadangan nama untuk jawatan menteri besar.

[Baca laporan asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.