Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada tanda PM hilang sokongan, usul undi tak percaya tak akan didahulukan'
Diterbitkan:  Dec 10, 2020 11:11 AM
Dikemaskini: 4:20 AM

PARLIMEN | Kerajaan tidak akan mendahulukan usul tidak percaya mahupun usul percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam aturan urusan mesyuarat di Parlimen.

Ini kerana setakat ini tiada petunjuk yang menggambarkan Muhyiddin hilang kepercayaan di Dewan Rakyat, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan.

"Pembangkang mengatakan sekiranya Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 tak diluluskan, ia mengandaikan perdana menteri hilang kepercayaan majoriti.

"Tetapi seperti kita maklum, belanjawan telah diluluskan (dengan undi suara) dan kurang ahli Parlimen yang tak bersetuju. Itu rekod di Dewan Rakyat.

"Maka tak timbul langsung kononnya ada kekurangan atau kehilangan sokongan majoriti terhadap Pagoh," katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH - Pasir Gudang) berkenaan bila usul-usul tersebut akan dibentang.

Menurutnya, walaupun sebanyak 25 usul undi tidak percaya dan dua undi percaya telah telah disenaraikan dalam aturan mesyuarat, ia masih tertakluk kepada peraturan mesyuarat yang menyatakan bahawa urusan kerajaan hendaklah didahulukan.

“Peraturan mesyuarat 15 (1) jelas menyatakan bahawa urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan lain, memandangkan tak ada langsung bentuk yang menggambarkan Pagoh (Muhyiddin) hilang kerajaan.

“Kerajaan berpandangan usul-usul tak percaya dan usul percaya merupakan satu usul yang melibatkan sesuatu yang tertentu dan kepentingan orang ramai. Saya percaya dewan ini menganggap itu bukanlah satu perkara yang perlu disenaraikan.

“Oleh sebab itu, usul-usul ini akan kekal di dalam aturan urusan mesyuarat tertakluk pada saturan mesyuarat 14 dan 15,” katanya semasa sesi waktu pertanyaan menteri hari ini.

Setelah menerima kritikan ekoran mengarahkan ahli parlimen pembangkang untuk tidak mengadakan undian belah bahagi ketika peringkat dasar Belanjawan 2021 di peringkat dasar bulan lalu, ketua pembangkang Anwar berkata pihaknya akan menggesa undi belah bahagi di peringkat jawatankuasa.

Bagaimanapun setakat ini, semua peruntukan kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa.

Undi belah bahagi dilihat sebagai satu bentuk kepada undi tidak percaya ke atas perdana menteri yang sering dipertikai berkenaan majoriti yang dimilikinya di Dewan Rakyat.

Baru-baru ini, Anwar dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa undi tidak percaya dibentangkan atas sebab ketidaktentuan berterusan dalam politik negara memberi kesan kepada ekonomi, dengan memetik penurunan penarafan kredit oleh Fitch Rating.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata kerajaan terbuka jika ada mana-mana ahli parlimen mahu mengemukakan sokongan dalam apa-apa bentuk kepada mana-mana individu sebagai calon perdana menteri.

“Kalau ada mana-mana ahli parlimen boleh kemukakan akuan bersumpah kepada Yang di-Pertuan Agong melebihi 112, kita akur sebagai satu proses demokrasi dalam negara kita,” katanya lagi.

Dua usul undi percaya bagi menyokong Muhyiddin daripada Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh).

Manakala usul undi tidak percaya pula daripada Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) serta empat penyokongnya, tujuh ahli parlimen Warisan, 11 ahli parlimen Amanah, seorang dari PKR dan seorang dari DAP.

Khalid Samad (PH-Shah Alam) dan Hanipa Maidin (PH-Sepang) dari Amanah masing-masing mempunyai dua usul tak percaya dalam aturan mesyuarat. 

Lihat Komen
ADS