Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar gesa undi tidak percaya dibentang di Parlimen
Diterbitkan:  Dec 7, 2020 9:26 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa usul undi tidak percaya terhadap pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat, dengan membangkitkan soal ketidaktentuan politik dalam negara.

Memetik laporan berkenaan penurunan penarafan kredit negara oleh Fitch Rating baru-baru ini, Anwar berkata ketidaktentuan yang berterusan akan terus memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

"Kerajaan perlu menimbang perkara ini secara serius.

"Speaker pula perlu ada keberanian untuk menghormati kehendak dan prosedur Parlimen," kata pengerusi PH itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Parlimen, hari ini.

Gesaan sama dibuat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini, yang antara lain berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu berani menangani ketidakstabilan politik dengan membenarkan usul itu dibentangkan.

Kenyataan Majlis Presiden PH juga menyuarakan hal yang sama, bahawa spekulasi berkaitan ketidaktentuan politik perlu ditamatkan dengan menyegerakan usul tersebut.

Kenyataan itu ditandatangani Anwar selaku presiden PKR, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

"(Penurunan penarafan) adalah satu tamparan hebat buat kerajaan, khususnya Menteri Kewangan. Ia menampakkan kegagalan perancangan dasar serta tata kelola kerajaan,

lanjutan dari ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan kerajaan pada Mac lalu.

"Kesan penurunan penarafan terhadap ekonomi negara masih belum dapat ditentukan sepenuhnya, namun apa yang jelas adalah langkah-langkah yang diusahakan Menteri

Kewangan selama ini telah gagal memberi keyakinan sehingga berlakunya penurunan penarafan yang cukup serius ini," kata kenyataan itu.

Selepas mengeluarkan arahan untuk tidak mengadakan undi belah bahagi ketika peringkat dasar Belanjawan 2021, Anwar berkata PH akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.

Terdapat 27 undian secara keseluruhan dan setakat ini kerajaan telah berjaya meluluskan peruntukan untuk 14 kementerian.

Lihat Komen
ADS