Pengalaman ngeri wartawan M'sia ditahan Hizbollah di Lebanon
Sekumpulan empat wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar di Lebanon melalui pengalaman menakutkan semalam apabila perjalanan mereka disekat oleh anggota Hizbollah kerana merakamkan visual kawasan Bahari di selatan Beirut.
Sekumpulan empat wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar di Lebanon melalui pengalaman menakutkan semalam apabila perjalanan mereka disekat oleh anggota Hizbollah kerana merakamkan visual kawasan Bahari di selatan Beirut.
Empat orang wartawan itu, wakil dari RTM, TV3 dan Bernama yang ditemani seorang pemandu dari Syria menaiki van telah ditahan seorang lelaki yang menunggang motosikal pada jam 6 petang dan mendakwa beliau seorang anggota Hizbullah dan mahu wartawan Malaysia menyerahkan visual yang dirakam TV3.
Menurut laporan Bernama, lelaki yang mendakwa anggota Hizbollah itu meminta Jurukamera TV3 N Gunasegaran menyerahkan visual yang dirakamnya tetapi beliau enggan. Ini menyebabkan keadaan tegang seketika dan lelaki itu masuk ke dalam van berkenaan dan merampasnya.
Jalal (pemandu) dan Gunasegaran cuba menjelaskan tujuan rakaman itu diambil dan menunjukkan gambarnya termasuk temubual dengan Syed Hamid.
"Saya panik apabila dipanggil masuk ke dalam sebuah kedai dan masa itu mahu menangis pun ada dan takut memikirkan mati kerana saya ingatkan mereka hendak melakukan sesuatu yang buruk kepada saya," kata Gunasegaran.
Bagaimanapun, seorang daripada lelaki di dalam kedai itu menjelaskan dengan baik bahawa beliau kena lihat visual yang dirakamkan dan memadamkannya kerana beliau takut gambar itu jatuh ke tangan orang lain yang akan menggunakannya untuk merancang serangan terhadap tempat itu, yang padat dengan penduduk.
"Ini pengalaman pertama saya dengan Hizbullah dan apa yang saya mampu lakukan ialah berdoa kepada Allah," kata wartawan RTM Fadzil Aziz yang terpaksa menunggu di dalam kereta bersama wartawan TV3 Teynmoli Subramaniam dan wartawan Bernama, Razman Ahdullah semasa Jalal dan Gunasegaran disoal.
Selepas setengah jam yang mendebarkan, mereka dibiarkan pergi tanpa diapa-apakan.
Tentera pengaman
Sementara itu, Syed Hamid Albar menegaskan, Israel tidak mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan negara mana akan dipilih sebagai anggota pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lebanon.
Menurutnya, kata pemutus pemilihan pasukan pengaman untuk memantau keadaan di Lebanon, terletak di tangan PBB.
"Malaysia menawarkan khidmat atas dasar mahu melihat keadilan dan keamanan wujud di wilayah yang dilanda perang itu, katanya. Beliau berada di Beirut bagi mengetuai delegasi Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) melawat Lebanon selama tiga hari.
Syed Hamid mengulas laporan
Reuters
semalam yang melaporkan Israel hanya mahukan negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengannya menyertai pasukan pengaman PBB itu dan negara yang tiada hubungan seperti Malaysia, tidak harus menyertainya.
Syed Hamid percaya pemilihan pasukan pengaman ke sebahagian daripada wilayah Timur Tengah itu akan dibuat PBB berdasarkan prestasi negara yang pernah menyertai pasukan seumpamanya sebelum ini.
Malaysia telah terlibat dengan beberapa misi pengaman dan menerima pujian PBB atas khidmat yang diberikan seperti di Congo, Bosnia Herzegovina dan Timor Leste, katanya.
"Malaysia juga terlibat dalam badan pemantau konflik di Selatan Filipina dan Aceh Indonesia. Kita mempunyai pengalaman dan kelengkapan bagi misi sedemikian dan kerana itu Malaysia menawarkan khidmatnya untuk menyertai sebahagian daripada anggota pengaman PBB," katanya.
Syed Hamid berkata Malaysia bersedia menghantar antara 850 hingga 1,000 tenteranya ke selatan Lebanon dan kerajaan Lebanon sendiri mengalu-alukannya.
Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan resolusi bagi pemberhentian permusuhan dan gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah berkuat kuasa Isnin.
Berikutan itu, kabinet Lebanon bersetuju menghantar 15,000 askar ke sempadan bagi memastikan kestabilan di kawasan itu bermula Khamis.

