Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Elak buat kenyataan diketawa rakyat, kata Kon Yeow
Diterbitkan:  Dec 12, 2020 4:48 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow meminta pemimpin Kedah tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang dilihat dibuat dengan sesuka hati sehingga diketawakan rakyat.

Menurut Chow isu mengenai caj air yang dituntut Kedah wajar dibincangkan dengan lebih baik dan bukannya membuat orang ramai berasa kecewa.

“Adalah lebih baik sekiranya rundingan dibuat dan tidak perlu sesuka hati melontarkan ayat yang akan ditertawakan rakyat.

“Kita perlu menjaga imej dan kredibiliti kedua-dua negeri dan janganlah sewenang-wenangnya menyuarakan perkara yang boleh membuatkan rakyat kecewa,” katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Chow ditemui media selepas majlis pecah tanah projek pembinaan kilang pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE) di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Isu air yang membayangi kedua-dua negeri berlaku selepas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini menyelar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) yang disifatkannya "tidak layak" memberi pandangan terhadap apa sahaja aktiviti di Ulu Muda termasuk rancangan melombong nadir bumi dianggarkan bernilai berpuluh-puluh bilion ringgit.

Kata pemimpin kanan PAS itu PBAPP tidak berhak menyatakan pandangan kerana agensi itu tidak membayar caj air mentah yang dibekalkan dari Kedah ke Pulau Pinang.

Kata Sanusi PBAPP mendapat bekalan air mentah dari Kedah secara percuma namun menjana keuntungan besar susulan kegunaan yang banyak melibatkan sektor industri dan perkapalan di Pulau Pinang. 

Pintu Komtar sentiasa terbuka

Chow kemudian memaklumkan Negeri Pulau Pinang tidak akan membayar caj air mentah kira-kira RM50 juta setahun seperti dituntut Kedah kerana PBAPP menerima surat daripada syarikat pengusaha air di Kedah dan memberikan penjelasan.

"Kita telah memberikan jawapan tidak akan membayar caj tersebut memandangkan Pulau Pinang menggunakan hak antarabangsa iaitu menggunakan air dari sungai khususnya di bahagian sempadan negeri Pulau Pinang sejajar dengan undang-undang dan hak antarabangsa.

"Kita tidak akan bayar sebab kita mengambil air dari Sungai Muda di bahagian Pulau Pinang sejajar dengan hak antarabangsa tentang air dan undang-undang negara," katanya. 

Sebagai reaksi segera Sanusi berkata dia boleh meminta orang kampung menyekat air dari Sungai Muda di Kedah agar tidak mengalir ke Pulau Pinang jika kerajaan negeri terbabit masih enggan membayar caj air mentah.

“Besok kita alirkan Sungai Muda itu ke tempat lain, kalau orang kampung saya kata belat (sekat) sungai, alih sungai itu pi (ke) tempat lain, hangpa (kerajaan negeri Pulau Pinang) nak sedut ayaq (air) di mana?

“Haa boleh pi sampai tara (setakat) itulah kalau mahu, saya kerah orang kampung suruh boh (letak) pasir dalam guni belat sungai di Pinang Tunggal.

“Lepas pada Pinang Tunggal, intake kita yang terakhir, lepas itu bila semua kering, hangpa boleh pi mengaga (cari) ikan (darat) di Sungai Pulau Pinang,” katanya. 

Menurut Chow Pulau Pinang sedia berbincang dengan lebih lanjut mengenai tuntutan Kedah walaupun pendirian mengenainya sudah dinyatakan.

“Pintu Komtar (yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri) sentiasa terbuka kepada kerajaan Kedah untuk mengemukakan tuntutan dan dalam isu ini, sudah semestinya rakyat tidak mahu melihat kedua-dua negeri berperang mulut menerusi platform media dan mengharapkan perbincangan dapat dijalankan," katanya.

Lihat Komen
ADS