Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Kedah selar Pulau Pinang - Bayar dulu caj air sebelum komen
Diterbitkan:  Dec 9, 2020 10:49 AM
Dikemaskini: 10:49 AM

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini menyelar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) yang disifatkan sebagai tidak layak memberi komen terhadap sebarang tindakan kerajaan negeri berkaitan apa sahaja aktiviti di Ulu Muda kerana agensi itu tidak membayar caj air mentah yang dibekalkan ke negeri itu.

Beliau berkata PBAPP mendapat bekalan air mentah daripada Kedah secara percuma namun menjana keuntungan besar susulan kegunaan yang banyak melibatkan sektor industri dan perkapalan di Pulau Pinang.

"Pulau Pinang tidak membayar sumber air mentah kepada Kedah khususnya kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) berbanding Syarikat Air Darul Aman (SADA), walaupun ia anak syarikat kerajaan negeri, SADA bayar kepada LSANK," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Alor Setar, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Jaseni Maidinsa Isnin lepas yang menggesa supaya rancangan untuk menjalankan perlombongan berskala besar di Ulu Muda dihentikan serta-merta.

Jaseni dilaporkan berkata kelulusan izin perlombongan itu akan membahayakan bekalan air di tiga negeri di utara yang melibatkan 4.2 juta pengguna.

Muhammad Sanusi juga berkata Kerajaan Negeri Kedah telah mengemukakan beberapa tuntutan secara bertulis kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang menuntut caj air mentah kira-kira RM50 juta setahun.

"Mula-mula hantar tuntutan pada 2010, tahun ni pun hantar tapi tak pernah mendapat sebarang jawapan dan bayaran.

"Tak patutlah PBAPP sebagai sebuah syarikat yang disenaraikan (di Bursa Saham Kuala Lumpur) yang dapat air mentah percuma kemudian bagi komen tak wajar untuk Kedah sebab Ulu Muda di bawah kedaulatan Kedah," katanya.

Beliau berkata apa sahaja keputusan atau tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah demi kepentingan rakyat dan negeri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS