Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kita ambil air Sungai Muda di bahagian Pulau Pinang’
Diterbitkan:  Dec 10, 2020 4:55 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memaklumkan pihaknya tidak akan membayar caj air mentah kira-kira RM50 juta setahun sebagaimana yang dituntut oleh Kerajaan Negeri Kedah.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) telah menerima surat daripada syarikat pengusaha air negeri itu (Kedah) baru-baru ini berkaitan tuntutan tersebut dan telah pun memberikan penjelasan berhubung tindakan tidak membayar caj berkenaan.

"Kita telah memberikan jawapan tidak akan membayar caj tersebut memandangkan Pulau Pinang menggunakan hak antarabangsa iaitu menggunakan air dari sungai khususnya di bahagian sempadan negeri Pulau Pinang sejajar dengan undang-undang dan hak antarabangsa.

"Kita tidak akan bayar sebab kita mengambil air dari Sungai Muda di bahagian negeri Pulau Pinang sejajar dengan hak antarabangsa tentang air dan undang-undang negara," katanya pada sidang media di George Town hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung beberapa tuntutan, antaranya caj air mentah kira-kira RM50 juta setahun, yang tidak pernah menerima sebarang jawapan dan bayaran daripada Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Chow berkata Pulau Pinang menyokong usaha Kedah untuk membuat tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pampasan kerana tidak membenarkan pembalakan di hutan lokasi tadahan air di negeri itu.

"Kita sokong negeri Kedah menuntut pampasan ini daripada Kerajaan Persekutuan seandainya Kedah mengambil tindakan untuk mewartakan Hutan Simpan Kekal di Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air bagi memastikan Ulu Muda dapat membekalkan air kepada tiga negeri di utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang," katanya sambil menambah isu sedemikian harus ditangani di peringkat Persekutuan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS