Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap dua buah buku bertajuk “Gay is OK! A Christian Perspective” dan "Peichi” mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Ketua Setiausaha KDN Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata Perintah Larangan itu dikeluarkan melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 340 bertarikh 27 November bagi penerbitan "Gay is OK! A Christian Perspective” dan Warta Kerajaan P.U.(A) 355 bertarikh 15 Disember untuk “Peichi”.

Menurutnya, perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan berkenaan adalah dilarang secara mutlak di negara ini.

"Penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan dan kepentingan awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kandungan penerbitan buku bertajuk “Gay is OK! A Christian Perspective” dilihat cuba mempromosikan budaya homoseksual di Malaysia adalah melanggar sensitiviti agama dan budaya di negara ini.

"Amalan hidup songsang adalah jelas dilarang dan bertentangan dengan semua ajaran agama termasuk Islam, Kristian, Buddha dan Hindu," katanya.

Penerbitan buku bertajuk “Peichi” pula memuatkan kandungan berunsur lucah dan tidak bermoral yang bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan norma hidup masyarakat Malaysia yang amat menitikberatkan kesopanan, katanya.

Beliau berkata adalah menjadi satu kesalahan sekiranya mana-mana pihak mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya hasil penerbitan larangan.

Mereka boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 8(2) Akta 301, katanya.

Sekiranya masyarakat awam mendapati penerbitan ini masih diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan KDN di talian telefon 03 - 88868047 atau faks 03 - 88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.

- Bernama

Lihat Komen
ADS