Paling Popular
Terkini

Pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), atau i-Sinar, yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 mengundang pelbagai reaksi.

Pihak yang kurang bersetuju dengan pengumuman itu membangkitkan simpanan dalam KWSP adalah untuk kegunaan ketika persaraan di masa depan.

Turut dibangkitkan ialah terdapat ramai pencarum yang memiliki kurang RM5,000 dalam akaun 1 dan ada juga yang kurang atau tiada simpanan dalam Akaun 2.

Dengan simpanan persaraan yang sedikit, tidak hairan apabila ramai yang perlu kembali bekerja demi menyara kehidupan. Malaysiakini bertemu dengan beberapa individu yang menempuhi cabaran itu.

Maheswaran Sinnthamby sudah 15 tahun memandu teksi di Kuala Lumpur. Sebelum itu, dia bekerja di sebuah bank dan berhenti pada usia 55 tahun.

"KWSP saya sudah habis sebab setiap bulan saya akan keluarkan RM3,000 untuk kegunaan isi rumah.

"Kalau kita atur duit KWSP elok-elok, boleh tahan sampai akhir hayat," katanya, sambil memaklumkan tidak lagi memandu sekerap dulu atas faktor kesihatan dan Covid-19.

Selain untuk menjana pendapatan, lelaki berusia 72 tahun itu berkata dengan memandu teksi, dia dapat bertemu dengan ramai orang.

Kos sara hidup tinggi

Begitu juga dengan Gor Bachan Singh, 70, seorang pemandu teksi sejak 2004 dan juga Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi Kepong.

Katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur dengan gaji kira-kira RM1,000, justeru simpanannya dalam KWSP tidaklah terlalu banyak, iaitu kira-kira RM30,000 sahaja.

Ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi, dia berkata sebarang perancangan berhubung penggunaan wang simpanan itu sukar dilaksanakan.

"Rancang memang rancang tapi bila duit pencen sudah keluar, jadi angan-angan.

"Kalau duit pencen ada RM100,000 ke bawah, tak boleh nak rancang apa-apa sebab kos sara hidup yang tinggi," katanya.

Dia memaklumkan pendapatannya sebagai pemandu teksi lebih baik berbanding sebagai pengawal keselamatan sebelum ini.


ULASAN | Sistem persaraan Malaysia sudah lapuk


Pada 16 Nov lalu, KWSP mengumumkan program i-Sinar bakal membantu lebih dua juta pencarumnya dalam menghadapi kesan susulan penularan wabak Covid-19.

Bagi ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah dalam Akaun 1, mereka akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000 manakala ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 dalam Akaun 1, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000.

Bagaimanapun para pencarum diingatkan agar tidak mengeluarkannya jika tiada keperluan berbuat demikian, demi menjaga wang simpanan untuk masa depan.

Susulan itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membangkitkan kegusaran berhubung keadaan simpanan pencarum.

Menurut Presiden MTUC Abdul Halim Mansor, sejumlah 32 peratus pencarum ada kurang RM5,000 dalam Akaun 1, manakala 2.2 juta pencarum ada kurang atau tiada simpanan dalam Akaun 2.

Razali Sahran (kiri)

Berlainan pula dengan Razali Sahran, 53, yang berkata ada pesara memilih untuk menjadi pemandu teksi kerana ingin bertemu dengan orang di luar, berbanding hanya berada di rumah.

"Mereka sudah biasa bekerja dan dapat bergaul dengan kawan-kawan. Masa kerja pula fleksibel.

"Ada juga yang masih ingin bekerja walaupun sudah mencecah 60 tahun tetapi pekerjaan sebelumnya tidak lagi sesuai," katanya yang juga timbalan presiden Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam.

Sementara itu, Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam berkata pemandu teksi yang terdiri daripada warga emas kebanyakan bekerja kerana ingin bermasyarakat.

Timbalan presidennya Razali Sahran, 53, berpendapat pekerjaan "memandu teksi paling mudah sebab masa fleksibel".

"Berdasarkan maklumat yang saya dapat, mereka dah biasa bekerja dan dapat bergaul dengan kawan-kawan sebab mereka mempunyai masa bebas jika bawa teksi.

"Lebih kepada pilihan sebab mereka masih nak bekerja walaupun berusia 60 tahun tetapi tempat kerja lama tak sesuai," katanya.

Lihat Komen
ADS