Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sejak BN mengemukakan cadangan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada akaun satu secara one-off, orang ramai sudah mula bercakap soal tabung persaraan di Malaysia.

Saya secara asasnya melihat sebab BN mencadangkan langkah ini untuk mengatasi kesan akibat pandemik Covid-19.

Dan seperti yang saya katakan sebelum ini – kerajaanlah yang perlu berbelanja dan mula membincangkan idea universal basic income (UBI).

Salah satu hujah BN dalam mengeluarkan idea ini adalah rakyat ingin memulakan perniagaan atau membeli aset seperti motosikal untuk terlibat dalam ekonomi gig.

Saya fikir hal ini dapat diselesaikan dengan memberi bantuan perniagaan mikro kepada rakyat yang ingin berniaga.

Walaupun saya tidak sepenuhnya bersetuju dengan BN, mereka harus dipuji kerana sekurang-kurangnya datang dengan cadangan yang membuka ruangan kepada perbahasan – sesuatu yang diperlukan dalam negara demokrasi.

Mekanisme KWSP ketinggalan zaman

Bagi anda yang mungkin sudah terlupa dengan mekanisme penyimpanan di KWSP – secara umumnya, bagi mereka yang bergaji RM5,000 ke bawah, majikan diminta untuk mencarum 13 peratus, dan pekerja harus mencarum tujuh peratus dari gaji pokok.

Hal ini menjadikan caruman bulanan pekerja dalam kategori ini sebanyak 20 peratus. Salah satu faktor yang perlu kita ingat dalam mekanisme ini adalah kadar caruman berdasarkan kadar gaji pokok pekerja – semakin tinggi gaji seseorang, semakin tinggi caruman bulanan yang mereka miliki.

Di Malaysia kita ada masalah kadar gaji yang tidak meningkat, dan kadar peningkatan gaji dari tahun ke tahun yang rendah. Keadaan ini menyebabkan ramai pekerja yang mempunyai kadar simpanan KWSP yang rendah.

Sebagai contoh, KWSP pernah berkata 71 peratus daripada ahli aktif dalam KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dalam simpanan mereka.

Berdasarkan kajian itu, ia bermakna mereka yang telah bersara hanya memiliki RM208 sebulan jika mengambil kira 20 tahun kehidupan selepas bersara.

Apabila situasi ini berlaku, kebanyakan pekerja terpaksa bekerja semula selepas beberapa tahun bersara kerana kehabisan wang simpanan.

Ia adalah masalah yang benar-benar berlaku, dan sepatutnya kita mencari solusi kepada masalah sistem persaraan yang sudah lapuk.

Untuk sesebuah sistem atau polisi bekerja dengan baik, kita harus pastikan sistem itu memberi manfaat kepada majoriti, bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja.

Malangnya, di Malaysia kita memiliki banyak polisi yang seperti ini. Contohnya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang hanya menguntungkan segelintir elit Melayu, berbanding Melayu berpendapatan rendah.

Jika kita perhatikan, 76.92 peratus, atau 7.4 juta pemegang unit (ASB) mempunyai saiz unit di bawah RM5,000 mengikut Laporan Tahunan ASB 2018.

Hanya 0.24 peratus mempunyai saiz pegangan RM500,001 ke atas.

Untuk menguatkan lagi hujah ini, 9.15 peratus pemegang unit melanggan 81.83 peratus jumlah unit atau lebih RM127.5 bilion. 7.4 juta pemegang unit terkecil hanya mempunyai simpanan RM4.1 bilion atau sekadar 2.65 peratus jumlah unit.

Ini adalah masalah besar yang ada di Malaysia, akibat kerusi pembuat dasar yang sering berminat untuk menggembirakan kelompok elitis.

Cari jalan tingkatkan wang persaraan

Berbalik kepada isu wang persaraan rakyat, saya fikir sudah masanya kita mencari mekanisme baharu dalam meningkatkan wang dalam tabung persaraan rakyat.

Untuk menyediakan model tabung persaraan yang baik, ia tidak boleh menggunakan model pelaburan sebagai kiblat.

Kita harus mencari jalan untuk membantu kelompok yang paling rentan untuk menyimpan.

Salah satu cadangan saya yang mungkin kedengaran ekstrem – mengeluarkan mereka yang mempunyai gaji amat besar dalam skim persaraan, dan biarkan mereka melabur dalam skim persaraan masing-masing.

Misalnya mereka yang bergaji RM20,000 dan ke atas – mereka sepatutnya dibiarkan merancang persaraan sendiri dengan skim pelaburan/persaraan yang ada di pasaran.

Keadaan ini akan memberi ruang kepada pembuat dasar untuk memperkenalkan polisi untuk meningkatkan kadar caruman majikan bagi mereka yang memiliki pekerja dalam kumpulan gaji besar.

Peningkatan caruman majikan untuk bekerja yang bergaji rendah akan membantu meningkatkan tabung persaraan.

Kita juga perlu mengkaji model-model persaraan dari negara-negara maju dan cuba dan mengambil elemen yang mampu dilaksanakan di Malaysia.

Sementara menunggu tabung persaraan ini direformasikan, saya rasa kita perlu memperbanyakkan bantuan kepada pesara.

Misalnya baucer makanan secara bulanan dan perkhidmatan kesihatan percuma untuk penyakit kritikal.

Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan bebanan pesara akibat kegagalan sistem tabung persaraan kita.


RAHMAN IMUDA merupakan aktivis buruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS