Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza selamat diijab kabulkan dengan tokoh korporat, Datuk Muhamad Khalid Jiwa kira-kira pukul 11.40 pagi tadi.

Dengan sekali lafaz pernikahan mereka disahkan oleh para saksi. majlis disempurnakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di ibunegara.

Akad nikah disempurnakan di Dewan Solat, masjid berkenaan oleh imam Nasaruddin Mat Daud dengan mas kahwin sejumlah RM22,222.

Jumlah mas kahwin itu dipilih sempena tempoh 22 tahun, dua bulan, dan dua hari Al-Quran diturunkan.

Menurut laporan Bernama, pasangan tersebut memilih hari ini bersamaan 27 Rejab (Isra' Mikraj) yang merupakan hari kitab Al-Quran diturunkan.

Kemudian, Khalid menyarungkan cincin ke jari manis Siti.

Siti kemudiannya mencium tangan suaminya dan kedua-dua pasangan tersebut kemudiannya bersalaman dengan anggota keluarga.

Pihak pengantin lelaki mengemukakan tujuh dulang hantaran pernikahan Azimat Cinta manakala pihak Siti membalas dengan sembilan dulang hantaran Sebenar Cinta.

Sebelum itu, pihak pengantin lelaki mengemukakan lima dulang hantaran yang dinamakan Adiwarna bertemakan warna keemasan sementara pihak pengantin perempuan membalas dengan tujuh dulang yang dipanggil Sanggar Bayu bertemakan warna perak.

Siti memakai baju pertunangan rekaan Radzuan Radzwil berwarna putih kebiruan. Cintin pertunangan Siti disarungkan ke jari manisnya oleh ibu Khalid Siti Zainab Hanafi.

Majlis pernikahan penyanyi 'Biarlah Rahsia' ini disiarkan secara langsungt oleh TV3.

Majlis pernikahan itu turut dihadiri Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman dan isteri Che Julita Aishah, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob dan isteri Toh Puan Zurina Kassim serta isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.