Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

DAP akan menerima kecaman sekiranya bekerjasama dengan Umno, berikutan beberapa kes rasuah melibatkan pemimpin parti itu selain kerap memainkan isu perkauman dan agama, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen. 

Chong berkata, DAP juga perlu menjelaskan mengenai syarat kerjasama tersebut dan bagaimana dapat dipastikan parti itu boleh mengawasi Umno sekiranya mereka menjalinkan hubungan politik.

Chong berkata demikian ketika mengulas kemungkinan DAP dan Umno bekerjasama susulan krisis politik di Perak, yang menyaksikan pemimpin kedua-dua parti itu berbaik-baik dan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan syarat tertentu.

“Kita perlu lihat masa depan negara, kita tidak boleh pentingkan diri dan menyerah kepada kemungkinan (kerjasama politik) semata-mata untuk menang pilihan raya negeri ,” jelasnya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Merujuk krisis politik yang berlaku di Perak itu, Chong berkata DAP tidak akan menggadaikan prinsipnya untuk memastikan layanan sama rata kepada semua kaum, sekiranya mereka bekerjasama dengan Umno.

“Ini adalah prinsip asas DAP. Jika mereka (Umno) setuju (kelak) saya rasa kita boleh terima,” katanya.

Untuk rekod, Umno bekerjasama dengan PH untuk menyingkirkan Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Bagaimanapun, Umno kemudian mencapai kata sepakat dengan PAS dan Bersatu untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Chong berkata dia yakin jika DAP benar-benar akan bekerjasama dengan Umno, parti itu boleh memainkan peranan dalam mengawasi kerajaan, tidak seperti SUPP dan MCA.

Bagaimanapun, dia turut menyatakan kerjasama antara DAP dan Umno tidak mungkin terjadi dalam masa terdekat kerana wujud persepsi bahawa kedua-dua parti saling bermusuhan.

“Ia perlukan sekurang-kurangnya tiga ke lima tahun untuk buktikan bahawa gabungan itu dapat memberikan manfaat kepada rakyat,” tambahnya.

Berbanding dengan Umno, Chong berkata, rakyat Sarawak mempunyai tanggapan lebih buruk terhadap PAS meskipun parti itu tidak bertanding di sana.

Katanya, PAS, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan PN dikuasai oleh mereka yang “fanatik agama” dan berluba-lumba untuk menonjolkan diri mereka 'lebih Melayu dan Islamik'.

“Lebih 10 peratus populasi Sarawak daripada tiga juta atau 400,000 rakyat Sarawak tinggal dan berkerja di semenanjung. Mereka secara umumnya juga terkesan dengan dasar PAS.

“Meskipun Sarawak meraih autonomi dalam pendidikan, perubatan, pertahanan dan keselamatan, tetapi dengan PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan dan bersaing dengan Umno untuk menjadi lebih Melayu dan Islamik, ia akan memberi kesan kepada dasar kerajaan persekutuan," katanya.

Tambahnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membentuk kerajaan negeri juga perlu dipersalahkan kerana membenarkan Umno dan PAS membentuk kerajaan PN bersama Bersatu.

Lihat Komen
ADS