Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Kontraktor gagal siapkan projek sekolah di Perlis ada 'link' kuat
Diterbitkan:  Dec 24, 2020 4:17 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) diberitahu, kontraktor yang diberi dua kali tempoh lanjutan untuk menyiapkan Sekolah Sukan Malaysia di Perlis mempunyai 'hubungan' yang kuat dengan orang begitu berpengaruh dalam kerajaan.

Menurut laporan siri pertama Ketua Audit Negara 2018, fasa satu projek itu diberikan kepada syarikat Pantas Technologies Sdn Bhd (Pantas Technologies) pada 11 Jan 2013 dan sepatutnya siap pada 1 Ogos 2014.

Bagaimanapun kontraktor terbabit diberikan tempoh lanjutan sebanyak 109 hari namun sehingga 14 Nov 2014 hanya 49 peratus daripada projek tersebut selesai.

Kontrak Pantas Technologies kemudiannya ditamatkan.

Bagaimanapun, Pantas Technologies mendapat semula projek berkenaan pada 11 Jan 2018. Pada 31 Disember 2018, hanya 4.5 peratus saja dapat selesai dan kontrak mereka ditamatkan lagi.

PAC semasa pendengarannya pada 2019 membuktikan Pantas Technologies dipilih Kementerian Kewangan berdasarkan tujuh syarikat dicalonkan sebuah syarikat dikenali sebagai Bumi Jelapang Corporation Sdn Bhd.

Pada masa sama semua 10 syarikat yang disyorkan Kementerian Pendidikan untuk kerja-kerja terbabit pula diketepikan Kementerian Kewangan.

Ketika Dr Madinah Mohamad - selaku mantan ketua setiausaha Kementerian Pendidikan antara 2013 hingga 2016 - memberi keterangan di hadapan PAC pada 11 Nov 2019, dia menjelaskan kementerian itu sangat mendesak agar projek tersebut disiapkan segera.

Ada hubungan Kementerian Kewangan

Dia kemudian menuntut penjelasan daripada Kementerian Kewangan setelah kontraktor terbabit gagal menyelesaikan projek pada kali pertama, dan diberitahu penamatan kontrak tidak dibuat dengan cara yang betul.

"Bagi saya ini seperti helah untuk melengah-lengahkan. Kemudian saya dengar syarikat terbabit ada hubungan dengan seseorang yang ada kedudukan sangat tinggi.

"Sebab itu mereka (Kementerian Kewangan) tidak berani nak mendesak sangat. Mereka cuba tetapi masih tak boleh kerana ini kena diputuskan di peringkat tertinggi," katanya.

Tambah Madinah lagi dia sentiasa mendesak Kementerian Kewangan untuk memberikan keputusan mengenai projek tersebut sama ada dipersetujui atau sebaliknya.

Madinah Mohamad

Katanya di pihak Kementerian Pendidikan mereka memang mahu isu berkenaan diselesaikan segera namun sebaliknya hal itu kelihatan tidak berlaku di pihak Kementerian Kewangan.

"Saya bercakap dengan pegawai-pegawai ini dan mereka kata, susah kerana di sebalik syarikat ini ada link (hubungan) dengan (orang tertentu) yang tertinggi. So, saya tak nak tanya banyak," katanya.

Akmal Nasir: Link itu ke arah mana? Politik atau pun bukan politik, atau pun pihak mana?

Madinah: Ketika itu saya dimaklumkan - kalau lawyers di sini akan kata - "Tan Sri cakap hearsay." Akan tetapi itulah yang diberitahu kepada saya... adalah link to the Menteri Kewanganlah.

Ketika Pantas Technologies dianugerahkan kontrak menyiapkan sekolah tersebut - sama ada pada 2014 atau 2018 - menteri kewangan Malaysia ialah Najib Razak.

Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin semasa melawat tapak projek sekolah sukan yang terbengkalai baru-baru ini

Untuk rekod selain bertugas sebagai ketua setiausaha Madinah juga pernah berkhidmat sebagai ketua audit negara mulai 2017. Selain menjadi menteri kewangan Najib juga berkhidmat sebagai perdana menteri ketika itu.

Sementara itu seorang lagi saksi dalam pendengaran PAC itu ialah Dr Mohd Gazali Abas yang dilantik sebagai ketua setiausaha Kementerian Pendidikan pada 2018.

Kata Mohd Gazali Kementerian Pendidikan membantah keputusan Kementerian Kewangan melantik semula kontraktor yang sama bagi menyelesaikan projek sekolah terbabit.

Katanya tiada penjelasan diberikan kementerian berkenaan di sebalik keputusan mereka melantik Pantas Technologies sekali lagi.

"Dia tidak bagi justifikasi. Dia bagi lantik sama sahaja, arahan sahaja. Dia tidak bagi sebab walaupun kita tanya, dia tidak bagi sebab. Kita berkajang tulis itu kenapa," katanya.

Ditanya beberapa anggota PAC, Mohd Gazali berkata keputusan Kementerian - yang dibuat mengikut Akta Tatacara Kewangan 1957 - tidak boleh diubah.

"Ia di bawah Akta Tatacara Kewangan. Ada di bawah kuasa Menteri Kewangan. Mengenai perolehanlah, so, dia ada final say (membuat keputusan muktamad,)" katanya.

Mohd Gazali juga berkata pihak Kementerian Pendidikan turut melakukan lawatan ke tapak projek, mengadakan mesyuarat bulanan di situ dan menegur kontraktor.

"Akan tetapi pihak kontraktor ini merasakan - tidak tahulah..." katanya sebelum disampuk orang lain: Kebal.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS