Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Takiyuddin: Tak perlu 'desak' PAS nak pilih MN atau tidak
Diterbitkan:  Dec 31, 2020 8:52 AM
Dikemaskini: 1:44 AM

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menegaskan mana-mana pihak tidak perlu meminta parti itu "memilih sama ada hendak bersama Muafakat Nasional (MN) atau tidak."

Ini katanya kerana PAS adalah antara watak utama yang merangka dan berusaha menubuhkan MN atas dasar penyatuan ummah

"Justeru itu PAS berpandangan MN bukanlah milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok, sebaliknya harus dibuka kepada semua kalangan yang cintakan perpaduan, keharmoniandan keadilan di dalam negara ini," jelasnya pada satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin dipercayai mengulas gesaan sesetengah pihak, khususnya daripada Umno yang mengatakan parti itu perlu memutuskan sama ada mahu bersama-sama dengan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU 15

Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman pada 26 Disember lalu dilaporkan berkata PAS perlu membuat keputusan segera mengenai pendiriannya untuk bersama MN atau PN.

Kata Tajuddin keputusan PAS diperlukan kerana PRU-15 mungkin akan diadakan tidak lama lagi.

"Sekarang ini dia orang (PAS) belum lagi bercakap (belum) buat keputusan yang jelas. Cuma dia kata Umno pun nak bersama dengan Muafakat Nasional dan dia pun nak juga MN menerima Bersatu.

“Kita (Umno) nak PAS buat keputusan nak bersama dengan Umno dalam MN ke tidak, lekas buat keputusan sebab kita nak pilihan raya ini,” kata Tajuddin, petik Astro Awani.

Sementara itu, Takiyuddin pada hari ini juga berkata PAS mengekalkan komitmen yang mantap dalam "agenda besar MN."

Umno, PAS boleh kerjasama dengan parti lain

"Adalah jelas dari sudut pendekatan dan strategi politik tiada suatu pun halangan yang dikenakan untuk Umno daripada kekal bersama Barisan Nasional (BN) mahupun untuk PAS dari menyertai manamana gabungan atau kerjasama politik.

"Apa yang penting adalah gabungan Umno dan PAS boleh malah perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita yang sama dalam menghadapi PRU15 dengan suatu persefahaman yang jitu khususnya tiada pertembungan sesama sendiri yang menguntungkan pihak lain.

"PAS amat yakin bagi mencapai cita-cita dan hasrat ini semua pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta hormat menghormati, bukan sebaliknya," katanya lagi.

Kenyataan Takiyuddin juga dipercayai sebagai maklum balas terhadap Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi yang sebelum ini menyoal setiausaha agung PAS itu: "Apakah main kayu tiga bukan konspirasi?"

Puad juga dilaporkan berkata peluang penyatuan terbesar hadir "apabila Umno-PAS tandatangan Piagam Muafakat Nasional."

"Peluang itu akan terlepas begitu sahaja kerana banyak sangat pakatan, gagasan dan gabungan yang mahu disertai," kata Puad petik Sinar Harian pada 27 Dis.

Terdahulu Takiyuddin membangkitkan isu 'legasi paling murni seorang pemimpin sejati' pada hantaran di Twitternya yang merujuk kepada saranan Puad supaya MP Umno menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Selepas kerjasama antara Umno dan PAS membuahkan kemenangan di beberapa PRK selepas PRU 2018, kedua-dua parti itu memeterai kerjasama Muafakat Nasional pada September 2019.

Bagaimanapun, PAS kini merupakan antara ahli Perikatan Nasional gagasan Bersatu yang mentadbir kerajaan persekutuan.

Umno pula dikatakan 'dingin' dengan Bersatu apabila parti itu mendakwa tidak mendapat penghormatan sewajarnya sebagai parti terbesar dalam gabungan PN serta kebimbangan agihan kerusi PRU15 kerana keduanya merebut sokongan pengundi Melayu Islam.

Semalam, Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah mendedahkan usaha pendaftaran Muafakat Nasional (MN) menghadapi sedikit masalah kerana dia difahamkan nama itu sudah digunakan oleh pihak lain.

Setiausaha Agung BN Annuar Musa pula sebelum ini dilaporkan berkata pendaftaran MN akan memakan masa sebelum didaftarkan dengan ROS.

Ini kerana katanya, pimpinan gabungan itu perlu menguruskan bagi kerja-kerja prapendaftarannya.

Lihat Komen
ADS