Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid ajak semua parti duduk bersama, tegaskan ‘pintu sentiasa terbuka’
Diterbitkan:  Dec 31, 2020 6:37 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Umno mengajak parti-parti politik pelbagai kaum untuk duduk bersama untuk memikirkan pendekatan terbaik untuk memacu kembali ekonomi negara dan membantu rakyat.

Presidennya Zahid Hamidi berkata Malaysia sedang berdepan keadaan yang mencabar dan memerlukan kepimpinan berwibawa.

“Sebagai pemimpin Umno dan BN, izinkan saya mengambil langkah pertama utk menjemput parti parti politik dan kepimpinan untuk mengadakan perbincangan - sama ada kita Melayu, Cina, India dan Orang Asli - kita semua mampu mengangkat politik matang dan meletak keutamaan negara dalam pandemik,” katanya.

Dalam perutusan tahun baru 2021 sebentar tadi, Zahid berkata dalam politik tidak ada yang pasti dan pintu Umno sentiasa terbuka.

Dia bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut maksudnya sama ada ia melibatkan kerjasama politik di peringkat lebih jauh, khususnya untuk pilihan raya umum depan.

“Politik adalah pendekatan yang dicipta untuk melindungi dan memenuhi keperluan rakyat. Dan dalam keadaan luar biasa ini pendekatan dan persetujuan luar biasa perlu dicapai.

“Kepimpinan sejati yang rakyat mahukan harus memberi fokus kepada keperluan rakyat dan negara. Sebagai sebuah negara, kita gagal jika isu asas tidak diambil peduli oleh kerajaan.

“Pintu Umno sentiasa terbuka untuk kerjasama demi kebaikan negara,” katanya tanpa menghuraikan lanjut.

Lihat Komen
ADS