Kerajaan terpaksa melunaskan hutang syarikat penganjur kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL), First Cartel Sdn Bhd yang tertunggak sebanyak RM10.2 juta bagi menyelamatkan kejohanan itu dari berkubur, kata Datuk Azalina Othman Said.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, tindakan tersebut bagi memastikan kejohanan itu diteruskan terutamanya pada tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2007.

" Penganjuran kejohanan lumba basikal terulung di Asia itu mungkin tidak dapat diteruskan pada masa depan jika kerajaan tidak mengambil alih penganjurannya daripada syarikat swasta First Cartel Sdn Bhd yang dilanda hutang tertunggak RM10.2 juta," jelas beliau.

Menurut laporan Bernama, Azalina mendedahkan 'operasi menyelamat LTdL' itu ketika menjawab soalan lisan Datuk Astaman Abdul Aziz (BN-Titiwangsa) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya lagi, Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) telah memberi amaran kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk menggantung keanggotaan negara sebagai ahli gabungannya atau menggantung hak negara menganjurkan sebarang kejohanan berbasikal pada masa akan datang jika hutang itu tidak diselesaikan.

"Jumlah kos yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengambil alih kejohanan ini adalah sebanyak RM3,458,844.35 dan ini bukanlah untuk menyelamatkan syarikat First Cartel Sdn Bhd," katanya.

Hutang tertunggak

Daripada jumlah tersebut kementeriannya bersetuju untuk menyelesaikan tunggakan hutang bernilai RM2,307,909.09 yang dituntut pihak UCI, iaitu RM1,056,238.25 untuk bayaran "Cycling Related Creditors" dan RM1,251,670.84 untuk "Television Related Creditors".

Kementerian Pelancongan pula bersetuju untuk membayar RM1,150,935.26 bagi menjelaskan bayaran penginapan hotel tertunggak.

First Cartel bersetuju untuk menyerahkan hak penganjuran itu kepada kerajaan manakala UCI pula mengenakan syarat agar kepakaran teknikal yang dimiliki oleh kakitangan syarikat itu dikekalkan di bawah pengurusan yang baru bagi membolehkan kejohanan itu diiktiraf UCI.

Katanya bagi mengelak masalah yang sama berulang, kementeriannya dan Kementerian Pelancongan telah menubuhkan jawatankuasa bersama Pelancongan Sukan Antarabangsa.

Ia akan meneliti segala permohonan untuk penganjuran program sukan antarabangsa oleh pihak persatuan, badan-badan atau pihak swasta daripada pelbagai aspek seperti kewangan, kepakaran, kemudahan dan promosi.

LTdL adalah salah satu daripada lima kejohanan utama dunia yang diiktiraf UCI dan mendapat pengiktirafan "Hors Classe" yang merupakan pengiktirafan tertinggi kejohanan peringkat "Continental".

Ia juga merupakan salah satu agenda pelancongan yang terpenting bagi negara.