Nazri: Kerajaan tidak akan buka semula kes pecat hakim
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz menegaskan kerajaan tidak akan membuka semula kes pemecatan tiga hakim negara pada 1988 semasa di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz menegaskan kerajaan tidak akan membuka semula kes pemecatan tiga hakim negara pada 1988 semasa di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, semua jalan untuk membuka semula perkara itu telah ditutup dan perkara itu tidak lagi menjadi satu isu.
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas (foto kiri) dan dua Hakim Mahkamah Agung Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Seah dipecat kerana salah laku oleh Tribunal Khas yang dibentuk kerajaan pada 1988.
"Saya tidak menjangka dia (Salleh) untuk berkata tidak kepada permintaan Majlis Peguam kerana dia mempunyai kepentingan peribadi dalam hal ini. Ia sesuatu yang kami sudah jangkakan tetapi ia tidak akan dibuka semula dalam apa cara pun," katanya kepada pemberita di lobi Bangunan Parlimen.
Menurut laporan Bernama, Nazri berkata tidak ada alasan kukuh untuk membuka semula perkara itu.
"Rasa tidak puas hati para peguam terhadap cara pengendalian menyeluruh kes itu bukan merupakan alasan kukuh langsung,"tegasnya.
Pada 15 Ogos lepas, Presiden Majlis Peguam Yeo Yang Poh menggesa supaya satu kajian menyeluruh diadakan terhadap pemecatan ketiga-tiga hakim itu pada 1988 semabil menyifatkan episod itu sebagai "hari paling gelap bagi institusi kehakiman Malaysia."
Yeo berkata satu pemeriksaan semula yang tidak berat sebelah perlu dilakukan terhadap serangan pihak Eksekutif ke atas badan kehakiman ketika itu bagi mengembalikan kebebasan kehakiman.
"Saya tidak boleh menimbangkan perasaan sakit hati peguam untuk mengkaji semula kes itu. Saya tidak boleh mengkaji setiap kes hanya kerana peguam berasa tidak puas hati atau marah. Kami menguruskan sebuah kerajaan serius dan bukan perbicaraan olok-olok," kata Nazri lagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim untuk sebuah sistem kehakiman baru bagi memastikan satu badan kehakiman yang bebas dapat diwujudkan, Mohamed Nazri berkata tidak ada sebab untuk mengubahnya kerana sistem majistret dan hakim Mahkamah Sesyen sekarang berfungsi dengan baik.

