Kira-kira 3.1 juta orang Melayu yang layak mengundi belum mendaftar diri sebagai pengundi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Katanya jumlah itu adalah 70 peratus daripada 4.5 juta rakyat Malaysia yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih baru tetapi masih belum berbuat demikian.

" Kebanyakan mereka yang masih belum mendaftar adalah mereka yang berusia antara 21 dan 25 tahun dan ada juga mereka yang berusia 40 hingga 45 tahun.

" Mereka yang lambat mendaftar sebagai pemilih itu terdiri daripada mereka yang bekerja sendiri seperti nelayan, peniaga dan sebagainya, dan ramai memberikan alasan mereka sibuk dengan tugas harian sehingga tidak sempat mendaftar," katanya kepada pemberita pada majlis penutup Program Kembara Merdeka SPR 2006 di Kuala Terengganu.

Menurut laporan Bernama, turut hadir di majlis itu Setiausaha SPR Datuk Kamarulzaman Mohd Nor, yang mengetuai kembara menjelajah tujuh negeri selama sembilan hari yang bermula di Putrajaya sejak 9 Ogos lepas.

Kembara Merdeka SPR merupakan acara simbolik organisasi itu sebagai langkah proaktif turun padang untuk memberi penerangan dan kemudahan kepada orang ramai yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih baru dan sepanjang sembilan hari kembara itu iaitu pada 9 hingga 15 Ogos dan 19 hingga 21 Ogos, SPR berjaya mendaftarkan seramai 2,473 orang pemilih baru.

Abdul Rashid berkata pihaknya juga telah melantik seramai 1,600 orang sebagai ejen pendaftar SPR yang terdiri daripada wakil-wakil parti politik dengan separuh daripadanya merupakan wakil daripada parti Umno.

Katanya di kawasan Pantai Timur sehingga kini, ejen daripada parti pembangkang didapati paling aktif menjalankan kerja-kerja pendaftaran pemilih baru.

" Di Terengganu sahaja, kita dapati kira-kira 100,000 orang yang layak, masih belum mendaftar sebagai pemilih baru dan kita yakin dengan kerja kuat SPR, disasarkan separuh daripada 4.5 juta mereka yang belum mendaftar itu, akan berbuat demikian menjelang akhir tahun ini," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang menjadikan pendaftaran pemilih sebagai satu pertandingan dan pihaknya sanggup menyediakan hadiah untuk tujuan itu.