‘MP hanya boleh dirujuk dengan nama kawasan parlimen’
Ahli parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran memberitahu mahkamah bahawa Dewan Rakyat tidak membenarkan ahli parlimen dipanggil atau dirujuk dengan menggunakan nama masing-masing ketika parlimen bersidang.
Sebaliknya, mereka hanya dibenarkan dirujuk dengan nama kawasan parlimen yang diwakili.
"Peraturan Mesyuarat 36 (5) menyatakan ahli parlimen tidak boleh dipanggil dengan nama.
"Hanya boleh dirujuk dengan menyebut kawasan parlimen mereka," katanya pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Ahli parlimen selama lima penggal itu berkata demikian semasa perbicaraan kes saman ahli parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman terhadap ahli parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.
Dia turut mendakwa tindakan Tajuddin memanggil Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai satu-satunya ahli parlimen wanita yang mempunyai 'Kok' bukan sahaja bersifat seksis, malah salah mengikut peraturan mesyuarat.
Peraturan Mesyuarat 36 (5) berbunyi: "Seseorang ahli tidak dibenar menyebutkan nama ahli yang lain".
Prosiding hari ini adalah bagi perbicaraan penuh kes saman berhubung dakwaan Tajuddin bahawa Khalid memanggilnya dengan istilah "sial" pada dua sidang media di lobi Parlimen pada 21 dan 24 November 2016.
Istilah sial berkenaan diucapkan Khalid dalam Dewan Rakyat selepas Tajuddin menyebut hanya Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) satu-satunya ahli parlimen wanita yang mempunyai 'Kok'.
Dalam bahasa slanga Inggeris, "cock" merujuk alat kelamin lelaki.
Susulan itu, Tajuddin mencabar Khalid supaya mengulangi perkataan "sial" di luar Dewan Rakyat.
Pemimpin Umno itu kemudiannya, pada 22 Februari 2017 memfailkan saman terhadap Khalid.
Kes saman ini turut melibatkan dua yang lain iaitu Kinitv Sdn Bhd dan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).
Selain, istilah "sial", perbicaraan turut menyentuh insiden kekecohan oleh sekumpulan pemuda dari Pasir Salak termasuk dua anak lelaki Tajuddin di perkarangan bangunan parlimen pada 24 November 2016.
Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar akan bersambung semula pada 3 Februari 2021.






